BEIJING, 30 Mei (Bernama-CMG) – Segala rundingan bagi Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) versi 3.0 telah dimuktamadkan dan apabila dikuatkuasakan pada masa akan datang, ia akan mewujudkan suasana kondusif bagi mendorong pembentukan pasaran yang amat besar untuk China dan ASEAN, sekali gus menyumbang kepada kestabilan perdagangan dalam senario serantau dan global.
Demikian dinyatakan jurucakap Kementerian Perdagangan China, He Yongqian dalam sidang media di sini pada Khamis.
Menurut beliau, Menteri Perdagangan dari China dan 10 negara anggota ASEAN telah mengumumkan segala rundingan berkenaan sudah dinoktahkan baru-baru ini, menandakan satu pencapaian signifikan melalui usaha gigih selama lebih dua tahun.
CAFTA versi 3.0 yang merangkumi sembilan bab tambahan, termasuk ekonomi digital, ekonomi hijau, rantaian pembekalan dan kesalinghubungan, peraturan teknologi standard dan prosedur penilaian kelayakan itu, berfaedah bagi memperluas kerjasama dalam ekonomi baharu melibatkan kuasa produktif kualiti baharu, meningkatkan ketersambungan rantaian pengeluaran dan pembekalan antara kedua-dua pihak, dan mendorong pembentukan satu pasaran yang amat besar.
"Dewasa ini, terdapat suatu negara yang mengamalkan unilateralisme dan perlindungan perdagangan secara sewenang-wenangnya sehingga membawa cabaran besar terhadap landskap ekonomi dan perdagangan di peringkat global."
"CAFTA versi 3.0 akan memperkukuh keyakinan untuk mewujudkan pertumbuhan ekonomi serantau dan antarabangsa, di samping meneladani negara di luar blok ini dengan mempertahankan keterbukaan, keterangkuman dan kolaborasi yang menang-menang," kata He lagi.
--BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial