DUNIA > BERITA

Menteri Luar Indonesia Seru Perkukuh Mekanisme ASEAN Susulan Adopsi Visi 2045

05/06/2025 06:03 PM

JAKARTA, 5 Jun (Bernama) -- Menteri Luar Indonesia Sugiono menyeru agar mekanisme institusi ASEAN diperkukuh termasuk kor diplomatik dan badan utama ASEAN bagi melaksanakan Visi Komuniti ASEAN 2045 yang telah diterima pakai pada sidang kemuncak bulan lalu di Kuala Lumpur.

Dalam pertemuan dengan Jawatankuasa Perwakilan Tetap ke ASEAN (CPR) dan Duta Besar Timor-Leste ke ASEAN di Kementerian Luar di sini, beliau memuji kemajuan yang dicapai melalui kerangka kerjasama ASEAN, terutamanya selepas penerimaan Visi Komuniti ASEAN (ACV) 2045.

Beliau berkata visi jangka panjang yang diterima pakai pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 di Kuala Lumpur bulan lalu itu menggariskan hala tuju strategik bagi tempoh dua dekad akan datang, dengan matlamat membentuk ASEAN yang berdaya tahan, inovatif, dinamik dan berorientasikan rakyat.

“Kita perlu memperkukuh mekanisme ASEAN, termasuk CPR, serta memperkasa Sekretariat ASEAN dan Ibu Pejabat ASEAN di Jakarta bagi mengoptimumkan potensi kita dalam menangani cabaran serantau dan global,” katanya.

Sugiono turut menekankan peranan CPR dalam memperkukuh pembinaan komuniti, memudahkan penyelarasan merentas tiga tonggak utama, serta menjalin kerjasama dengan rakan luar ASEAN, yang penting untuk mencapai matlamat ACV.

Beliau turut mengalu-alukan penyertaan Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11 ASEAN yang dijangka dimuktamadkan tahun ini.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan