DUNIA > BERITA

ASEAN Perkukuh Kerjasama Ekonomi Dengan Norway Dalam Bidang Hijau Dan Digital

10/06/2025 06:41 PM

JAKARTA, 10 Jun (Bernama) -- ASEAN berusaha memperkukuhkan kerjasama dengan Norway bagi memajukan pertumbuhan hijau, inovasi digital dan pembangunan mampan di Asia Tenggara, ketika rantau ini menghadapi cabaran perubahan iklim, transformasi ekonomi dan dinamik global yang sentiasa berubah.

Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn berkata kepakaran Norway dalam tenaga boleh diperbaharui, inovasi maritim, teknologi digital dan akuakultur mampan menjadikan negara itu rakan kongsi semula jadi untuk memacu matlamat jangka panjang ASEAN.

“Kepimpinan Norway dalam penyelesaian hijau dan ekonomi biru sejajar dengan matlamat kemampanan dan keutamaan pembangunan ASEAN,” katanya pada majlis makan malam bersama Jawatankuasa ASEAN dan pihak berkepentingan lain pada Isnin, menurut kenyataan Sekretariat ASEAN pada Selasa.

Majlis itu dianjurkan oleh Duta Besar Indonesia ke Norway, Teuku Faizasyah di kediaman rasminya di Oslo dan turut dihadiri Duta Besar Norway ke ASEAN, Kjell Tormod Pettersen.

Kao turut menekankan bahawa pendidikan, penyelidikan dan inovasi adalah bidang penting untuk memupuk bakat dan teknologi yang akan membentuk masa depan blok serantau ini.

Menurut data sekretariat, perdagangan dua hala antara ASEAN dan Norway mencecah US$3.6 bilion pada 2024, manakala pelaburan langsung asing Norway berjumlah US$22.5 juta.

Walaupun angka itu memberangsangkan, beliau menegaskan masih banyak potensi yang belum diterokai dan menggesa langkah-langkah berani serta praktikal demi memajukan kerjasama ke tahap seterusnya.

“Dalam landskap global hari ini yang dicirikan oleh peningkatan perlindungan dan ketidaktentuan geopolitik, kerjasama dengan rakan-rakan sehaluan di seluruh dunia, seperti dengan Norway menjadi semakin kritikal untuk menegakkan kerjasama ekonomi yang terbuka, inklusif dan berasaskan peraturan,” katanya.

Kao kini dalam lawatan kerja ke Norway dari 9 hingga 12 Jun, atas jemputan kerajaan Norway sempena ulang tahun ke-10 Perkongsian Dialog Sektoral ASEAN-Norway.

Norway diiktiraf sebagai Rakan Dialog Sektoral ASEAN pada 2015 ketika mesyuarat menteri luar ASEAN di Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan