SEOUL, 15 Jun (Bernama-Yonhap) -- Kerajaan bandar Seoul pada Ahad mengumumkan bahawa operasi waktu malam bagi perkhidmatan teksi tanpa pemandu akan diperluas ke seluruh daerah Gangnam di Seoul mulai minggu ini, lapor Agensi Berita Yonhap.
Perkhidmatan teksi autonomi waktu malam itu, yang diperkenalkan sebagai program perintis pada September lalu, akan mula beroperasi berhampiran stesen bawah tanah Apgujeong, Sinsa, Nonhyeon dan Cheongdam bermula Isnin, menurut kenyataan pihak bandar.
Ketika ini, perkhidmatan itu hanya ditawarkan di kawasan Yeoksam-dong, Daechi-dong, Dogok-dong dan Samseong-dong di Gangnam.
Inisiatif itu, yang merupakan yang pertama seumpamanya diperkenalkan oleh bandar tersebut, kini mengendalikan tiga teksi dari 11 malam hingga 5 pagi pada hari bekerja.
Pengguna boleh menempah teksi itu seperti biasa melalui aplikasi Kakao T, dengan maksimum tiga penumpang dibenarkan dalam satu masa. Perkhidmatan ini ditawarkan secara percuma semasa tempoh program perintis.
Sejak ia mula beroperasi pada 26 Sept, perkhidmatan itu telah mencatatkan sejumlah 4,200 perjalanan, bersamaan purata 24 perjalanan sehari.
Berdasarkan kejayaan program perintis tanpa sebarang kemalangan di daerah Gangnam yang terkenal dengan laluan jalan raya yang kompleks, pihak bandar berkata inisiatif ini berpotensi membuka laluan kepada penggunaan kereta pandu sendiri sebagai mod pengangkutan yang selamat dan mudah.
-- BERNAMA-YONHAP
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial