DUNIA > BERITA

Indonesia Seru Tindakan Berhemah, Sedia Sokong Usaha Keamanan Global

18/06/2025 04:07 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 18 Jun (Bernama) -- Menteri Luar Indonesia Sugiono menggesa semua pihak agar bertindak secara berhemah dalam menghadapi ketegangan global yang semakin memuncak, serta menegaskan kesediaan Jakarta untuk menyokong usaha keamanan antarabangsa.

Dalam sidang media bersama Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov di Moscow pada Selasa, Sugiono menekankan keutamaan pendekatan diplomasi dalam menyelesaikan pertikaian.

“Kami bersetuju bahawa sebarang bentuk peningkatan ketegangan perlu dihentikan dan pertikaian harus dibawa ke meja rundingan,” katanya, menurut kenyataan Kementerian Luar Indonesia.

Kenyataan itu susulan ulasan Lavrov mengenai ketegangan di Timur Tengah dan merupakan sebahagian daripada perbincangan lebih meluas mengenai isu serantau dan global, termasuk kerjasama di bawah kerangka BRICS dan ASEAN.

Sugiono berkata Indonesia bersedia untuk menyumbang kepada usaha membina keamanan dan menjadi pengantara sekiranya diperlukan.

“Saya turut menawarkan bantuan Indonesia dalam merapatkan jurang komunikasi dan perbezaan, serta mengurangkan ketegangan di peringkat serantau serta global agar kita dapat mewujudkan persekitaran yang lebih aman di pelbagai bahagian di dunia,” katanya.

Kedua-dua menteri turut berikrar untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor utama termasuk politik dan keselamatan, perdagangan dan pelaburan, serta keselamatan makanan dan tenaga.

Mereka juga bersetuju untuk meningkatkan hubungan dua hala kepada tahap Perkongsian Strategik.

Kedua-dua pihak menyambut baik hubungan rasmi yang semakin erat antara kedua-dua negara, yang telah membawa kepada inisiatif kerjasama baharu termasuk dalam bidang pendidikan dan program perpustakaan.

Lawatan Sugiono dilakukan menjelang kunjungan Presiden Indonesia Prabowo Subianto ke Rusia pada 19–20 Jun untuk bertemu Presiden Vladimir Putin dan menghadiri Forum Ekonomi Antarabangsa St. Petersburg (SPIEF).

Lawatan itu juga bersempena ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik antara Indonesia dan Rusia yang terjalin sejak Februari 1950.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan