KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan telah mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya termasuk dari Syria, Azerbaijan, dan Yaman di luar Mesyuarat Majlis Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul, Turkiye pada Ahad.
Mohamad telah mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Luar dan Ekspatriat Syria Asaad Hassan al-Shaibani.
Dalam pertemuan itu, al-Shaibani juga menerangkan keadaan semasa di Syria selepas jatuhnya rejim Assad dan hasrat Kerajaan Syria untuk membangunkan semula negara itu.
“Pertemuan ini penting bagi memperkukuh hubungan dua hala Malaysia – Syria,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook rasminya.
Selain itu, Mohamad juga mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Luar Azerbaijan Jeyhun Bayramov.
“Alhamdulillah, pertemuan ini menjadi medan penting untuk memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Azerbaijan serta membincangkan perkembangan serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama,” katanya.
Beliau juga mengadakan pertemuan dua hala bersama Menteri Luar dan Ekspatriat Yaman Dr. Shaya Mohsin Zindani.
“Pertemuan ini membuka ruang untuk memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Republik Yaman serta membincangkan isu-isu serantau yang menjadi kepentingan bersama,” katanya.
Sementara itu, Mohamad telah mengadakan pertemuan singkat dengan Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal Farhan Al-Saud dan mengadakan perbincangan ringkas berhubung dua hala Malaysia-Arab Saudi serta isu-isu serantau yang menjadi keprihatinan bersama.
“Hubungan baik antara kedua-dua negara terus diperkukuh melalui kerjasama strategik dan persefahaman yang erat di pelbagai peringkat, termasuk di pentas OIC,” menurut hantaran di Facebook.
Di samping jadual yang padat, Mohamad juga mengadakan pertemuan dua hala bersama Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Timur Tengah, Asia dan Pasifik Mohamed Khaled Khiari di luar mesyuarat.
“Pertemuan ini membuka ruang untuk perbincangan mendalam berkenaan isu serantau serta kerjasama pelbagai hala yang lebih erat,” katanya.
Mohamad juga bertemu Pemerhati Tetap Negara Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Dr. Riyad H. Mansour.
“Telah saya zahirkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin dalam pertemuan ringkas ini,” katanya.
Selain itu, beliau juga mengadakan pertemuan dengan Timbalan Setiausaha Kementerian Luar bagi Hal Ehwal Politik Oman Sheikh Khalifa bin Ali bin Issa Alharthy dan Penasihat Hal Ehwal Luar kepada Kerajaan Interim Bangladesh Md. Touhid Hossain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial