DUNIA > BERITA

Pelihara Orde Multilateral Berlandaskan Peraturan Amat Signifikan - PM Singapura

23/06/2025 03:07 PM

BEIJING, 23 Jun (Bernama-CMG) -- Singapura dan China mengekalkan hubungan perkongsian yang erat dan kukuh, dibina atas asas saling percaya, hormat-menghormati dan saling memahami.

Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong berkata demikian dalam temu bual bersama Kumpulan Media China (CMG) sempena lawatan rasminya ke China bermula 22 hingga 26 Jun.

Beliau turut dijadual menghadiri mesyuarat tahunan "New Champions" Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang turut dikenali sebagai Forum Davos Musim Panas yang akan berlangsung di bandar Tianjin.

Wong berkata sempena acara itu beliau ingin menegaskan pentingnya memelihara orde multilateral yang berlandaskan peraturan.

Menurut beliau, semua negara di dunia akan menerima tempias teruk sekiranya tiada peraturan yang berkesan atau menyimpang daripada garis panduan kerjasama yang telah wujud sejak sekian lama.

“Jika dunia kian berpecah belah, negara-negara saling mencurigai dan tidak percaya, maka dunia akan terjerumus ke dalam situasi yang tidak menentu dan bergolak.

“Ia akan melembapkan pertumbuhan ekonomi global dan meningkatkan inflasi, bahkan menjejaskan semua negara. Semua akibat buruk itu akan ditanggung oleh rakyat,” katanya.

Wong berpendapat bahawa walaupun sistem multilateral kini masih kurang sempurna dan ada ruang untuk ditambah baik, namun ia tidak harus dilepaskan, sebaliknya perlu diperbaharui dan disesuaikan bagi memberi manfaat kepada semua negara.

Menyentuh mengenai rundingan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) versi 3.0 yang dimuktamadkan pada bulan lepas, Wong berkata Singapura menyokong penaiktarafan CAFTA dan bersedia bekerjasama dengan negara anggota lain untuk mempertahankan perdagangan bebas dan sistem perdagangan yang berasaskan peraturan.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan