DUNIA > BERITA

Jepun Tekankan Aktiviti Maritim Aman Ketika Kapal Mizuho Singgah Di Pelabuhan Klang

23/06/2025 05:52 PM

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi and Wan Muhammad Aslah Wan Razali

KLANG, 23 Jun (Bernama) -- Pengawal Pantai Jepun (JCG) berkata aktiviti maritim pelbagai negara yang sedang dilaksanakan di Indo-Pasifik bertujuan mengukuhkan kerjasama serantau dan bukan untuk mencetuskan konflik.

Naib Komander Operasi JCG Naib Laksamana Kanosue Hiroaki berkata matlamatnya adalah untuk memupuk kerjasama dan penyelarasan dengan rakan maritim serantau selaras dengan orde antarabangsa berasaskan peraturan.

Beliau berkata usaha itu juga sebahagian daripada strategi Jepun untuk Indo-Pasifik Bebas dan Terbuka yang memperjuangkan kebebasan pelayaran dan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa.

“Objektif kami bukan untuk mencetuskan konflik, tetapi untuk mencapai persefahaman bersama dengan negara-negara berkaitan mengenai undang-undang antarabangsa serta memastikan agensi penguat kuasa mereka bertindak sewajarnya,” katanya pada sidang media sempena pelabuhan persinggahan kapal peronda JCG, Mizuho di Terminal Kapal Persiaran Pelabuhan Klang (PKCT) pada Isnin.

Kanosue berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan mengenai peningkatan kehadiran Jepun di rantau itu melalui latihan maritim bersama di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat di Laut China Selatan.

Minggu lepas, JCG menyempurnakan latihan bersama dengan Amerika Syarikat dan Filipina di Teluk Kagoshima, barat daya Jepun. Ini berikutan latihan maritim bersama dengan Filipina di barat bandar Masinloc, di Pulau Luzon, seminggu sebelumnya.

Sementara itu, Mizuho yang melakukan lawatan pertama ke Malaysia mulai hari ini, akan mengambil bahagian dalam misi strategik selama lima hari melibatkan latihan bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Latihan itu termasuk teknik menangkap, latihan menaiki kapal dan penggunaan peranti akustik jarak jauh.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Muda Mohd Zawawi Abdullah berkata kerjasama itu akan meningkatkan keupayaan Malaysia membanteras jenayah maritim, khususnya di laluan perairan utama seperti Selat Melaka.

Apabila ditanya mengenai penugasan seterusnya Mizuho di Laut China Selatan selepas persinggahan di Malaysia, Kanosue enggan mengulas lanjut dan hanya menyatakan bahawa kapal itu akan meneruskan pelayaran ke arah timur selepas misi berkenaan.

Kerjasama maritim Jepun-Malaysia bermula pada 2006 dan semakin erat dari semasa ke semasa yang ditegaskan semula baru-baru ini semasa lawatan Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba ke Malaysia pada Januari lepas.

“Lawatan kapal Mizuho ini lebih daripada sekadar latihan – ia adalah simbol kepercayaan dan perkongsian strategik yang semakin mendalam antara kedua-dua negara,” kata Mohd Zawawi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan