DUNIA > BERITA

Bantuan Ditenterakan Israel Di Gaza Menyumbang Kepada "Situasi Bencana Kemanusiaan " - PBB

24/06/2025 06:55 PM

GENEVA, 24 Jun (Bernama-Anadolu) -- Pendekatan Israel yang menenterakan bantuan kemanusiaan di Gaza telah memburukkan penderitaan orang awam dan menyumbang kepada "situasi bencana kemanusiaan", kata Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa, sambil memberi amaran bahawa amalan itu mungkin merupakan jenayah perang.

“Mekanisme bantuan kemanusiaan Israel yang ditenterakan bercanggah dengan piawaian antarabangsa dalam pengagihan bantuan. Ia membahayakan orang awam dan menyumbang kepada situasi bencana kemanusiaan di Gaza,” kata Jurucakap PBB Thameen Al-Kheetan pada satu taklimat di Geneva.

Menurut Anadolu Ajansi (AA), Al-Kheetan berkata rakyat Palestin di Gaza berdepan “pilihan tidak berperikemanusiaan” antara mati kelaparan atau berisiko dibunuh ketika cuba mendapatkan makanan.

Sejak Yayasan Kemanusiaan Gaza yang diluluskan Israel mula beroperasi pada 27 Mei, “tentera Israel telah mengebom dan menembak rakyat Palestin yang cuba menuju ke pusat agihan, mengakibatkan ramai terkorban.”

Dilaporkan lebih 410 rakyat Palestin terbunuh akibat insiden itu. Sekurang-kurangnya 93 lagi dilaporkan maut oleh tindakan tentera Israel ketika mereka cuba menghampiri beberapa konvoi bantuan PBB dan pertubuhan kemanusiaan lain, katanya.

Menurut Al-Kheetan, sekurang-kurangnya 3,000 orang lagi cedera dalam kejadian seumpama itu.

“Pembunuhan ini mesti disiasat dengan segera dan tanpa berat sebelah,” katanya. “Pembunuhan dan pencederaan orang awam akibat penggunaan senjata api menyalahi undang-undang dan merupakan pelanggaran serius undang-undang antarabangsa dan satu jenayah perang.”

Pejabat Hak Asasi Manusia PBB turut mengkritik “sekatan haram” Israel terhadap kemasukan dan pengagihan bantuan kemanusiaan, dengan menyatakan hanya beberapa buah trak dibenarkan masuk sejak 2 Mac.

“Memperalatkan makanan terhadap orang awam, selain menyekat atau menghalang mereka daripada mengakses perkhidmatan yang menyelamatkan nyawa, adalah satu jenayah perang dan dalam keadaan tertentu boleh merupakan elemen jenayah lain di bawah undang-undang antarabangsa,” kata Al-Kheetan. “Tentera Israel mesti berhenti menembak orang yang cuba mendapatkan makanan.”

Israel juga mesti membenarkan kemasukan makanan dan bantuan kemanusiaan lain yang diperlukan untuk menyelamatkan nyawa rakyat Palestin di Gaza selaras dengan undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan, katanya.

Beliau turut menyeru negara ketiga agar mengambil langkah konkrit untuk memastikan Israel, sebagai kuasa pendudukan di Gaza, mematuhi tanggungjawabnya menyediakan makanan mencukupi dan keperluan menyelamatkan nyawa kepada penduduk di wilayah itu.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan