DUNIA > BERITA

China Gesa Redakan Ketegangan Di Asia Barat

25/06/2025 03:51 PM

BEIJING, 25 Jun (Bernama-CMG) -- China menyokong usaha Iran dalam memelihara kedaulatan dan keselamatan negara, mewujudkan gencatan senjata yang membolehkan rakyat pulih ke kehidupan normal, serta mendorong pengurangan ketegangan di Asia Barat.

Perkara itu dinyatakan Menteri Luar China, Wang Yi ketika menghubungi rakan sejawatnya dari Iran, Abbas Araghchi menerusi panggilan telefon pada hari ini.

Wang memaklumkan bahawa Presiden China Xi Jinping telah mengemukakan empat cadangan bagi meredakan ketegangan di Asia Barat termasuk menggesa gencatan senjata diwujudkan segera, menjamin keselamatan orang awam, mengadakan dialog dan mempromosikan usaha perdamaian.

Katanya, inisiatif itu mencerminkan pendirian dan prinsip teguh China dalam memperjuangkan keadilan.

China turut mengutuk serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas kemudahan nuklear Iran yang dipantau oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), sambil menyifatkan tindakan itu melanggar prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa, selain kemungkinan menyebabkan kebocoran nuklear bahkan bencana nuklear, katanya.

Sementara itu, Araghchi memaklumkan mengenai situasi terkini di rantau berkenaan.

Beliau menegaskan bahawa serangan Israel dan AS terhadap kemudahan nuklear di Iran secara serius melanggar undang-undang antarabangsa, justeru pihaknya tiada pilihan lain selain bertindak balas.

Beliau berkata walaupun Iran dan Israel telah mencapai perjanjian gencatan senjata, namun situasi masih belum stabil sepenuhnya.

Gencatan senjata sebenar hanya boleh dicapai sekiranya Israel menghentikan sepenuhnya pencerobohan dan hanya selepas itu, rundingan bermakna dapat dimulakan, tegas Araghchi.

Beliau merakamkan penghargaan kepada China atas pemahaman dan sokongan terhadap pendirian Iran dan bersedia mengekalkan interaksi dengan Beijing.

Beliau turut berharap China memainkan peranan lebih besar demi meredakan situasi di rantau itu.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan