DUNIA > BERITA

Malaysia Sasar 10,000 Pengunjung Di Festival Bangkok, Tingkatkan Kempen VM2026

29/06/2025 10:07 PM

Oleh Kenny Teng

BANGKOK, 29 Jun (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menyasarkan 10,000 pengunjung untuk Festival Makanan dan Kebudayaan Malaysia 2025 yang berlangsung dari 29 hingga 30 Jun 2025 di Samyan Mitrtown, Bangkok.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata dengan purata kehadiran harian lokasi itu sekitar 50,000 orang, festival itu dijangka menarik sekurang-kurangnya 20 peratus pengunjung dalam tempoh dua hari.

“Lokasi strategik yang berhampiran universiti utama serta dikelilingi bangunan pejabat dan ruang mesra keluarga menjadikannya tempat ideal untuk menarik minat pelajar, golongan profesional dan keluarga,” katanya kepada Bernama pada Ahad.

Beliau berkata festival yang meriah ini memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai keunikan Malaysia melalui hidangan kulinari, persembahan kebudayaan dan promosi pelancongan eksklusif selaras dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Tiong yang sedang dalam lawatan kerja ke Bangkok dari 27 Jun hingga 3 Julai, merasmikan festival itu sebagai usaha memperkukuh kerjasama pelancongan dua hala dan meletakkan asas bagi hubungan yang lebih erat menjelang VM2026.

Beliau menekankan bahawa festival ini memainkan peranan penting dalam usaha menjelang Tahun Melawat Malaysia tahun depan bagi meningkatkan keterlihatan dan mengukuhkan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang mesra dan pelbagai.

“Inisiatif ini secara langsung menyumbang kepada sasaran pelancongan 2025 untuk mencapai 43 juta ketibaan pelancong antarabangsa dan menjana RM283.8 bilion hasil pelancongan untuk negara,” katanya.

Tiong memaklumkan festival ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Tourism Malaysia mempromosikan VM2026, khususnya dengan menggalakkan pelancong Thailand meneroka tarikan unik di Malaysia.

“Penganjuran festival di lokasi bertrafik tinggi dan mudah diakses ini membolehkan kita mempamerkan budaya dan masakan Malaysia kepada khalayak yang luas, sekali gus menggalakkan lebih ramai pelancong Thailand dan serantau memilih Malaysia sebagai destinasi percutian mereka,” katanya.

Menurut rekod Tourism Malaysia, Thailand menyumbang 2.26 juta pelawat ke Malaysia pada 2024 dengan menjana hasil pelancongan sebanyak RM3.994 bilion.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan