DUNIA > BERITA

239 Kanak-kanak Maut Di Barat Sudan Sejak Januari

30/06/2025 11:11 AM

KHARTOUM, 30 Jun (Bernama-Anadolu) -- Sekurang-kurangnya 239 kanak-kanak dilaporkan maut di wilayah barat Sudan sejak Januari lalu akibat kekurangan makanan dan ubat-ubatan, menurut Rangkaian Doktor Sudan pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Pertubuhan perubatan awam itu dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pasukannya mendokumentasikan kematian kanak-kanak akibat kekurangan zat makanan serta ketiadaan bekalan makanan dan ubat yang kritikal di bandar El Fasher, ibu negeri wilayah Darfur Utara, sepanjang tempoh Januari hingga Jun.

Kenyataan itu turut memberi amaran mengenai krisis kebuluran yang semakin meruncing serta serangan berterusan ke atas gudang bekalan makanan kanak-kanak di El Fasher yang masih dikepung oleh kumpulan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).

“Rangkaian ini amat kesal terhadap sikap  komuniti antarabangsa yang mengabaikan nasib kanak-kanak di Darfur, yang telah hidup dalam kepungan selama lebih setahun,” menurut kenyataan itu.

Ia turut menjelaskan bahawa El Fasher dan kem-kem pelarian di sekitarnya kini berdepan kekurangan makanan dan ubat-ubatan yang hampir menyeluruh, selain harga barangan asas yang melambung tinggi dan di luar kemampuan penduduk.

Rayuan segera turut dibuat untuk menyelamatkan baki penduduk awam di El Fasher yang berada dalam keadaan terkepung dan dihujani serangan hampir setiap hari.

Rangkaian itu menyeru badan serantau dan antarabangsa agar menekan RSF supaya menerima dan melaksanakan cadangan gencatan senjata oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Tindakan segera amat diperlukan untuk membuka laluan bantuan kemanusiaan, membenarkan penghantaran bantuan kecemasan dan bekalan perubatan serta menamatkan kepungan yang membelenggu El Fasher selama lebih setahun,” menurut kenyataan itu lagi.

Pertempuran antara tentera Sudan dan RSF menjejaskan El Fasher sejak 10 Mei, meskipun pelbagai amaran antarabangsa dikeluarkan mengenai bahaya konflik di bandar itu, yang menjadi pusat utama operasi bantuan kemanusiaan bagi lima negeri di wilayah Darfur.

Pengerusi Majlis Berdaulat Sudan, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan pada Jumaat telah meluluskan gencatan senjata kemanusiaan selama tujuh hari di El Fasher.

Keputusan itu dibuat susulan panggilan telefon daripada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, menurut kenyataan daripada Majlis itu. 

Guterres meminta agar satu gencatan senjata selama seminggu dilaksanakan di El Fasher bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan kepada penduduk yang memerlukan.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyatakan secara khusus bila gencatan senjata akan bermula.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan