Oleh Kenny Teng
BANGKOK, 3 Julai (Bernama) -- Malaysia memperkukuh peranannya dalam diplomasi Parlimen ASEAN apabila Yang Dipertua Dewan Rakyat merangkap Presiden Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) 2025, Tan Sri Johari Abdul, hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Speaker Parlimen Thailand, Wan Muhamad Noor Matha, di Bangkok.
“Ia sekali gus menandakan satu lagi langkah strategik ke arah ASEAN yang lebih terangkum, berdaya tahan dan harmoni,” kata Johari dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.
Dalam pertemuan tersebut, katanya Wan Muhamad Noor menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi AIPA 2025, dan turut merakamkan ucapan tahniah atas kejayaan Malaysia menganjurkan siri mesyuarat AIPA.
Antara mesyuarat itu termasuk Mesyuarat Ahli Parlimen Wanita AIPA (WAIPA) di Sarawak, Mesyuarat Ahli Parlimen Muda AIPA (YPA) di Selangor, Mesyuarat Bersemuka ASEAN-AIPA di Kuala Lumpur, dan Mesyuarat Majlis Penasihat AIPA Mengenai Dadah Berbahaya (AIPACODD) di Pahang.
Dalam pada itu, Wan Muhamad Noor menyuarakan harapan agar Perhimpunan Agung AIPA bukan sahaja menjadi platform memperkukuh kerjasama legislatif serantau, malah menjadi medan strategik untuk mendalami perbincangan berhubung isu-isu global yang semakin mencabar, termasuk konflik Palestin dan ketegangan geopolitik di Iran.
Beliau turut menyatakan kesediaan Thailand untuk meraikan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Malaysia-Thailand yang bakal disambut pada 2027, dan berharap hubungan antara Parlimen kedua-dua negara dapat terus diperkukuh menjelang detik bersejarah tersebut.
Selain itu, Wan Muhamad Noor mencadangkan agar kerjasama dalam sektor pelancongan Malaysia-Thailand dipertingkatkan, dan menyambut baik cadangan untuk menjemput semula Ahli Parlimen Malaysia ke Thailand sebagai usaha memperkukuh kefahaman rentas budaya serta membina asas kepimpinan serantau yang progresif.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial