Oleh Rohani Mohd Ibrahim
KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov dijadual berada di Malaysia minggu depan bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN ke-58 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan.
Beliau dijangka mengambil bahagian dalam tiga mesyuarat utama berkaitan ASEAN pada 10 dan 11 Julai.
Menurut pegawai Kedutaan Rusia di Kuala Lumpur kepada Bernama pada Khamis, ia membabitkan Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN bersama Rusia, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri Sidang Kemuncak Asia Timur ke-15, dan Forum Serantau ASEAN (ARF) ke-32.
Apabila ditanya mengenai kemungkinan mesyuarat lain, pegawai itu tidak menolak kemungkinan Lavrov mengadakan mesyuarat dua hala di luar acara utama.
“Akan ada mesyuarat, tetapi kami belum dapat mengesahkannya buat masa ini,” kata pegawai itu.
Sputnik/RIA Novosti melaporkan pada Rabu bahawa semasa mesyuarat menteri ASEAN-Rusia, Moscow menjangka dialog substantif mengenai pelbagai isu kerjasama dengan ASEAN dalam bidang politik dan keselamatan, perdagangan dan ekonomi, serta sosial dan kebudayaan.
Jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova dipetik sebagai berkata: “Pihak kami berhasrat memberi tumpuan kepada risiko yang semakin meningkat berkaitan dengan ketenteraan di rantau Asia Pasifik, pengembangan rangkaian mekanisme blok Pasifik, percubaan oleh Euro-Atlanticists untuk menyatukan potensi kuasa NATO di Asia, melemahkan seni bina keselamatan ASEAN yang sedia ada, dan menumpukan semua kerja praktikal pada format alternatif yang sesuai dengan agenda Barat.”
“Pada masa yang sama, kami akan menegaskan peranan pusat ASEAN dalam memastikan kestabilan dan kerjasama inklusif di rantau ini.
“Secara substantif, kami akan memberi tumpuan kepada penyediaan program kerja bersama baharu bagi tempoh 2026 hingga 2030. Fokus utama adalah kepada pembangunan sektor teknologi tinggi dan berintensifkan pengetahuan, bandar pintar, kerjasama dalam bidang pendigitalan, tenaga dan bidang berpotensi lain,” katanya.
Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) merupakan platform serantau yang memudahkan dialog dan kerjasama dalam kalangan negara anggotanya, manakala ARF berperanan sebagai platform dialog keselamatan dan kerjasama.
Malaysia akan menjadi tuan rumah Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN ke-58 yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 8 hingga 11 Julai.
Malaysia mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN pada 1 Jan tahun ini daripada Laos. Ini merupakan kali kelima Malaysia memegang peranan sebagai Pengerusi ASEAN selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Rusia menjalin hubungan dengan ASEAN pada 1991 dan menjadi Rakan Dialog penuh pada 1996.
Pada 2018, hubungan tersebut dipertingkatkan kepada Rakan Strategik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial