SEOUL, 7 Julai (Bernama-Yonhap) -- Mahkamah Daerah Pusat Seoul dijadual mengadakan prosiding pada Rabu ini bagi mempertimbangkan permohonan waran tangkap terhadap bekas Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol berhubung dakwaan percubaan beliau mengisytiharkan undang-undang tentera pada Disember tahun lalu.
Menurut kenyataan mahkamah, prosiding akan berlangsung pada jam 2.15 petang susulan permohonan rasmi yang dikemukakan oleh Peguam Khas, Cho Eun-suk sehari sebelumnya.
Pasukan pendakwa khas itu menuntut agar Yoon ditahan atas beberapa pertuduhan berkaitan tindakannya pada Disember lalu, termasuk dakwaan bahawa beliau mengarahkan Perkhidmatan Keselamatan Presiden untuk menghalang penahanannya oleh pihak penyiasat pada Januari.
Yoon turut berdepan pertuduhan melanggar hak anggota Kabinet apabila hanya memanggil beberapa menteri terpilih untuk menghadiri mesyuarat khas sebelum pengisytiharan undang-undang tentera dibuat pada 3 Disember, serta mengarahkan pembantu-pembantunya menyediakan dokumen kedua berkaitan pengisytiharan itu beberapa hari selepasnya.
Setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada Yoon akan hadir ke mahkamah bagi prosiding itu.
-- BERNAMA-YONHAP
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial