DUNIA > BERITA

Pembangunan Sektor Telekomunikasi Malaysia Jadi Contoh Negara Afrika - Fahmi

08/07/2025 07:45 PM

Daripada Mohd Khairi Idham Amran

GENEVA (Switzerland), 8 Julai (Bernama) -- Beberapa negara di benua Afrika menjadikan pembangunan sektor telekomunikasi di Malaysia sebagai model yang perlu dicontohi, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata dalam mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat dari Algeria Sid Ali Zerrouki dan Alioune Sall dari Senegal, mereka berminat untuk belajar dari Malaysia, terutama dari segi pembangunan infrastruktur telekomunikasi dan pelaksanaan transformasi digital.

“Mereka ingin melihat dan membuat tanda aras berdasarkan cara Malaysia melaksanakan perancangan infrastruktur telekomunikasi,” katanya kepada media selepas mengadakan mesyuarat dua hala dengan Sid Ali serta Menteri Komunikasi, Telekomunikasi dan Digital Senegal Alioune Sall di sini pada Selasa.

Mesyuarat itu diadakan bersempena dengan penyertaan Malaysia pada Sidang Kemuncak Dunia mengenai Acara Peringkat Tinggi Masyarakat Bermaklumat+20 (WSIS+20) yang diadakan di sini dari 7 hingga 11 Julai.

Fahmi berkata kedua-dua negara berkenaan mengagumi kemajuan Malaysia yang telah mencapai 98 peratus liputan untuk 4G dan 82 peratus bagi 5G di kawasan berpenduduk (CoPA) serta tahap penggunaan 5G mencecah 80 peratus daripada pengguna Internet.

“Bagi kedua-dua negara, langkah seterusnya adalah untuk mewujudkan memorandum persefahaman antara kementerian dan juga antara badan yang bertanggungjawab untuk kawal selia sektor telekomunikasi dan Internet,” katanya.

Pada pertemuan dengan Sid Ali, Fahmi berkata Menteri Pos dan Telekomunikasi Algeria itu turut menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan ASEAN, terutama dalam aspek keselamatan dalam talian.

“Saya maklumkan bahawa kita telah menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur di Bandar Seri Begawan, Brunei pada Mei lepas,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Fahmi berkata Sid Ali telah menyatakan keinginan untuk mendalami Deklarasi Kuala Lumpur serta usaha yang dilakukan oleh negara-negara di rantau Asia Tenggara untuk memastikan Internet lebih selamat untuk rakyat.

“Jadi, insya-Allah kita akan susuli dengan perbincangan dan juga mungkin setelah Deklarasi Kuala Lumpur diterima pakai, maka kita akan kongsikan kerangka dan beberapa ikhtiar seperti ASEAN Toolkit bersama dengan bukan hanya Algeria, tetapi juga negara-negara yang berminat dari benua Afrika,” katanya.

Beliau berkata Sid Ali turut menyampaikan hasrat untuk menjemput Malaysia sebagai negara pemerhati di platform Smart Africa bertujuan memanfaatkan akses yang berpatutan kepada jalur lebar.

“Saya rasa ia (Smart Africa) satu platform yang menarik dan sangat berpotensi dan sudah pasti Malaysia sebagai negara yang tidak berpihak dalam mengguna pakai teknologi sama ada dari barat mahupun timur, banyak yang boleh kita ceritakan, banyak pengalaman yang boleh kita kongsikan dari segi kejayaan dan cabaran dalam melaksanakan, terutama rangkaian 5G,” katanya.

Selain Algeria dan Senegal, Fahmi mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari Ghana, Samuel Nartey George.

Beliau turut dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat dari Arab Saudi, Haitham Abdulrahman AlOhali serta Setiausaha Agung Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) Doreen Bogdan-Martin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan