DUNIA > BERITA

Bina Komuniti Berkongsi Nasib China-Arab Yang Lebih Erat - PM Li Qiang

11/07/2025 07:29 AM

KAHERAH, 10 Julai (Bernama-CMG) -- China ingin merapatkan hubungan persahabatan dengan Liga Arab, serta meningkatkan kesalingpercayaan strategik dan mempergiat kerjasama dengan negara-negara Arab.

Pada masa sama, China akan berganding bahu  dengan negara-negara Arab untuk mempromosi modenisasi demi membina komuniti berkongsi nasib China-Arab yang bertaraf lebih tinggi.

Perdana Menteri China, Li Qiang berkata demikian ketika bertemu dengan Setiausaha Agung Liga Arab, Ahmed Aboul Gheit di sini, pada Rabu.

Li berkata, hubungan antara China dan Liga Arab kini berada pada tempoh yang paling baik dalam sejarah. China sentiasa memandang dan mengembangkan hubungan dengan negara-negara Arab dari perspektif strategik, dan dengan teguh menyokong usaha negara-negara Arab untuk mendapatkan keadilan.

Menurut Li, China bersedia memperkasakan penyelarasan strategi pembangunan dengan negara-negara Arab, mendorong pembinaan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang berkualiti tinggi, meluaskan kerjasama dalam bidang tenaga, ekonomi, perdagangan, pelaburan dan pembiayaan, aeroangkasa dan sebagainya, di samping meneroka potensi kerjasama dalam sektor-sektor baharu seperti tenaga baharu, kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, dan ekonomi biru.

China bersedia memperkukuh komunikasi dan penyelarasan dengan negara-negara Arab di pelbagai platform antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), dan Kumpulan 20 (G20) demi mendorong pembentukan sistem tadbir urus global yang lebih adil dan saksama, kata Li.

Gheit pula menyatakan pihaknya menyokong prinsip satu China, bersedia memperkasakan kesalingpercayaan politik dengan China, sementara meningkatkan pertukaran dan kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan dan sosiobudaya di bawah kerangka Forum Kerjasama China-Arab.

Liga Arab bersedia bersama China melaksanakan hasil Sidang Kemuncak China-Arab pertama, dan menjayakan sidang kemuncak edisi kedua pada tahun depan, kata Gheit.

– BERNAMA-CMG

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan