HAMILTON (Kanada), 10 Julai (Bernama-Anadolu) -- Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu menyatakan ia “ dengan tegas” menentang sebarang pemindahan paksa rakyat Palestin, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Kenyataan itu dibuat susulan kenyataan seorang pegawai Israel yang mencadangkan pemindahan penduduk Semenanjung Gaza ke sebuah “bandar kemanusiaan” di kawasan runtuhan Rafah.
“Ini bukan kali pertama kami mendengar cadangan sebegini. Kami tegas menentang sebarang pemindahan paksa rakyat yang hanya akan meningkatkan risiko kepada mereka,” kata jurucakap PBB Stephane Dujarric pada sidang media.
Anadolu melaporkan Menteri Pertahanan Israel Israel Katz berkata beliau telah mengarahkan tentera menyediakan rancangan untuk menempatkan semula semua rakyat Palestin ke sebuah “bandar kemanusiaan” di kawasan runtuhan Rafah di selatan Gaza.
Katz berkata penduduk akan ditempatkan di zon baharu itu sebelum dibenarkan berhijrah ke negara lain.
Memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Dujarric berkata serangan dilaporkan berlaku ke atas khemah dan bangunan kediaman di Bandaraya Gaza dan Deir al-Balah, dengan mengorbankan ramai penduduk Plaestin termasuk petugas perubatan serta keluarga mereka.
“Sejak Oktober 2023, lebih 1,500 petugas perubatan dilaporkan terbunuh. Itulah yang dimaklumkan Kementerian Kesihatan tempatan kepada kami,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa sistem kesihatan Gaza berada di ambang kelumpuhan akibat insiden yang menyebabkan ramai penduduk terkorban serta kekurangan bahan api, ubat-ubatan, darah dan bekalan perubatan yang kritikal.
“Kekurangan bekalan ini meningkatkan tekanan terhadap hospital yang sudah beroperasi dalam keadaan amat tertekan serta berdepan kekurangan bahan api, ubat-ubatan dan bekalan perubatan, termasuk darah dan produk darah,” katanya.
“Rakan kongsi kami di lapangan turut menyatakan kebimbangan berhubung peningkatan kes disyaki meningitis dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun,” katanya, sambil memaklumkan terdapat kes cirit-birit berdarah dan jaundis akut.
Dengan sekatan Israel terhadap akses kemanusiaan yang berterusan, Dujarric berkata: “Semalam, daripada 10 percubaan untuk menyelaras pergerakan dengan pihak berkuasa Israel, hanya tiga dibenarkan sepenuhnya baggi tujuan mengambil bekalan perubatan dan membersihkan runtuhan. Tiga lagi percubaan telah ditolak secara langsung, termasuk satu bagi mengambil bekalan dari lintasan Karem Shalom.”
“Empat percubaan selebihnya terpaksa dibatalkan oleh penganjur,” katanya.
Menjawab soalan mengenai pendirian PBB terhadap Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang disokong Amerika Syarikat dan Israel, beliau berkata: “Kami bukan anti-GHF, ya? Kami menyokong bantuan kemanusiaan. Kami telah nyatakan berulang kali.”
Beliau menegaskan bahawa mana-mana kumpulan bantuan yang beroperasi di Gaza perlu mematuhi prinsip kemanusiaan yang diiktiraf antarabangsa, sambil menekankan PBB “tidak akan bekerjasama dengan pihak yang tidak mematuhi piawaian berkenaan pada masa ini.”
Ditanya sama ada GHF boleh dianggap sebagai organisasi kemanusiaan yang sah mengikut norma antarabangsa, Dujarric berkata: “Saya bukan bertanggungjawab memberi label atau sijil.”
“Mereka nampaknya menjalankan sistem pengagihan makanan, tetapi sementara ada yang menerima makanan, ada juga yang terbunuh ketika cuba mendapatkan makanan itu. Itu bukan cara kami mengendalikan operasi kemanusiaan,” katanya.
“Sistem pengagihan makanan yang menyebabkan orang ramai terbunuh ketika cuba mendapatkan makanan bukanlah satu tindakan kemanusiaan,” kata Dujarric.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial