DUNIA > BERITA

Kes Kekurangan Zat Makanan Di Gaza Semakin Kritikal - UNRWA

13/07/2025 06:08 PM

NEW YORK, 13 Julai (Bernama-WAFA) --  Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) memberi amaran mengenai peningkatan mendadak kes kekurangan zat makanan di Gaza, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dan golongan rentan, ekoran kekurangan bekalan perubatan penting yang kritikal.

Menurut Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA), UNRWA dalam satu kenyataan yang disiarkan pada Ahad di laman sesawang rasmi agensi itu memaklumkan kliniknya di seluruh Gaza merekodkan peningkatan ketara kes kekurangan zat makanan sejak bermulanya sekatan ketat oleh Israel pada Mac.

UNRWA menegaskan, sekatan terhadap kemasukan bantuan kemanusiaan, termasuk makanan dan ubat-ubatan, memburukkan lagi keadaan kesihatan dan kehidupan yang sedia kritikal bagi penduduk awam Palestin.

Agensi itu menyeru masyarakat antarabangsa untuk segera memastikan penghantaran bekalan yang dapat menyelamatkan nyawa serta mengambil tindakan tegas bagi menamatkan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing.

UNRWA memberi amaran keruntuhan infrastruktur penjagaan kesihatan, ditambah pula dengan kadar kemiskinan yang melonjak dan ketakjaminan makanan, sedang menjerumuskan penduduk terutamanya kanak-kanak dan wanita ke jurang kecemasan kemanusiaan yang semakin parah.

-- BERNAMA-WAFA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan