Oleh Noraizura Ahmad
KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Kerjasama erat antara Thailand dan Malaysia terus mempertingkatkan taraf hidup di wilayah sempadan selatan Thailand melalui program pembasmian kemiskinan, penambahbaikan infrastruktur dan inisiatif komuniti rentas sempadan.
Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC) menerajui usaha itu bersama agensi Malaysia yang menumpukan pembangunan di Yala, Pattani, Narathiwat, Songkhla, dan Satun, kawasan yang secara sejarahnya terjejas oleh pergolakan dan kekurangan peluang ekonomi.
Setiausaha Agung SBPAC Pol Lt Kol Wannapong Kotcharak berkata kerjasama itu selaras dengan matlamat kedua-dua negara untuk memajukan komuniti, mengukuhkan ekonomi tempatan serta memupuk keamanan jangka panjang melalui inisiatif pembangunan peringkat akar umbi.
“Tanggungjawab utama kami adalah memastikan rakyat di rantau ini dapat menjalani kehidupan lebih baik dan selamat. Kami komited untuk melakukan sebaik mungkin bagi meningkatkan lagi taraf hidup mereka,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di Ibu Pejabat SBPAC di Yala, baru-baru ini.
Wannapong berkata beberapa projek infrastruktur utama telah dilaksanakan bersama Malaysia, termasuk usaha memodenkan tempat pemeriksaan Sadao supaya setanding Bukit Kayu Hitam, serta pembinaan jambatan kedua yang menghubungkan Sungai Golok dan Rantau Panjang di Kelantan bagi meningkatkan perdagangan dan mobiliti rentas sempadan.
Beliau berkata kedua-dua negara turut melancarkan program Bandar Berkembar pada tahun lepas untuk memacu kerjasama antara lima wilayah selatan Thailand dan lima negeri di utara Malaysia, iaitu Narathiwat-Kelantan, Songkhla-Kedah, Yala-Perak, Satun-Perlis, dan Pattani-Terengganu.
“Ini adalah antara strategi terpenting kami. Program bandar berkembar menumpukan kepada pendidikan, pembangunan sosial, pelancongan dan industri makanan halal ... semua ini mempunyai kaitan dengan budaya dan ekonomi wilayah,” katanya.
Beliau berkata program pendidikan dan pembangunan kemahiran, termasuk kurikulum bersama juga dirangka untuk memperkasakan latihan vokasional dan peluang pekerjaan, khususnya bagi belia di kawasan sempadan, memandangkan kedua-dua pihak berkongsi identiti budaya dan aspirasi yang sama.
“Sebab itu kerajaan (Thailand) bekerjasama rapat dengan Malaysia untuk meneroka lebih banyak peluang kerjasama. Baru-baru ini, kami melawat Pulau Pinang dan menganjurkan aktiviti seperti pertukaran sukan. Strategi kami adalah menggunakan pelancongan, pendidikan dan pembangunan komuniti untuk merapatkan hubungan rakyat,” katanya.
Menurut Targeted People Development Database (TPMAP) 2019 terdapat 52,117 isi rumah miskin yang melibatkan 107,356 orang di wilayah selatan, iaitu Yala, Pattani, Narathiwat, Satun, dan Songkhla hidup dalam kemiskinan.
SBPAC sudah pun melaksanakan fasa kedua pelan pembangunan (2024-2027), berasaskan inisiatif diraja "Understand, Access, Develop" dan model ekonomi seimbang yang bertujuan meningkatkan taraf hidup di rantau berkenaan.
Tahun ini, sebanyak 13,601 isi rumah dijangka mendapat manfaat daripada pelbagai projek pembangunan pertanian, perikanan dan perniagaan kecil.
Sementara itu, penubuhan semula Majlis Penasihat Pentadbiran dan Pembangunan SBPAC tahun ini menunjukkan komitmen kerajaan Thailand yang mengutamakan suara rakyat dalam proses pembangunan di wilayah selatan.
Pengerusinya Dr Khodari Sen ketika ditemui Bernama di Yala berkata majlis yang dianggotai 49 ahli daripada pelbagai latar profesional di lima wilayah itu telah diaktifkan semula selepas dibubarkan pada 2014.
“Majlis ini adalah untuk orang awam, bukan NGO tetapi agensi kerajaan yang memberi peluang kepada rakyat menyuarakan masalah terus kepada kami tanpa perlu melalui saluran kerajaan.
“Rakyat lebih selesa berurusan dengan kami berbanding agensi kerajaan. Kami ingin buktikan bahawa majlis ini benar-benar milik mereka,” tegas Khodari sambil menyatakan keyakinannya bahawa kerjasama erat dengan Malaysia bakal memacu kemajuan wilayah selatan.
Khodari berkata tiga dasar utama telah dibentangkan baru-baru ini, iaitu mengukuhkan kedudukan kewangan dan peranan majlis; menyokong agensi seperti SBPAC dan Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 Selatan Thailand (ISOC4) Tentera Darat Thailand serta memperkasakan sektor awam dalam membantu pembangunan wilayah selatan.
Beliau berkata bagi melaksanakan semua dasar berkenaan sebannyak tujuh pasukan kerja telah dibentuk dengan fokus khusus pada bidang pendidikan, kebudayaan, keadilan, ekonomi, keselamatan serta wanita dan kanak-kanak.
“Keutamaan kami adalah keadilan, majlis ini mempunyai kuasa untuk memindahkan pegawai kerajaan yang tidak disenangi rakyat, kecuali pegawai tentera. Ini pernah berlaku sebelum ini dan rakyat masih menaruh harapan tinggi terhadap kami,” katanya.
Sebarang perancangan pembangunan di selatan Thailand yang melibatkan kerjasama dengan Malaysia perlu mendapat kelulusan majlis penasihat berkenaan terlebih dahulu bagi memastikan kesesuaian dengan keperluan komuniti setempat.
Beliau kekuatan hubungan kedua negara terletak pada persamaan budaya, produk halal, sistem pendidikan Islam, dan ekonomi tempatan sekali gus membantu membawa kesejahteraan kepada rakyat di kedua-dua negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial