NEW YORK, 13 Julai (Bernama-WAM) -- Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memaklumkan yang wakil pemain dan badan induk bola sepak dunia mencapai kata sepakat mengenai keperluan tempoh rehat selama 72 jam antara perlawanan, serta bersetuju setiap pemain harus menikmati sekurang-kurangnya 21 hari cuti pada akhir setiap musim.
Menurut Agensi Berita Emiriah (WAM), perbincangan itu diadakan menjelang perlawanan akhir Piala Dunia Kelab antara PSG dan Chelsea.
Kejohanan itu, yang berlangsung semasa musim rehat liga-liga Eropah menerima kritikan daripada kesatuan pemain, berikutan peningkatan keprihatinan terhadap kebajikan pemain yang membawa kepada desakan bagi tempoh rehat mandatori dan penekanan lebih besar terhadap keselamatan pemain semasa perlawanan.
Beberapa hari sebelum kejohanan Piala Dunia Kelab selama sebulan bermula, pemimpin bola sepak menghadapi gesaan baharu untuk melindungi pemain berikutan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kecederaan dan keletihan melampau.
Presiden FIFA Gianni Infantino dan pegawai lain daripada badan induk bola sepak dunia itu bertemu dengan wakil kesatuan pemain dari seluruh dunia di New York. FIFA menyifatkan perbincangan itu sebagai “progresif” dan menekankan yang kesihatan pemain sebagai “keutamaan.”
“Terdapat kesepakatan, harus ada sekurang-kurangnya 72 jam rehat antara perlawanan dan pemain harus menikmati tempoh rehat/cuti sekurang-kurangnya 21 hari pada akhir setiap musim.
“Tempoh ini perlu diuruskan secara individu oleh setiap kelab bersama pemain masing-masing, berdasarkan kalendar perlawanan serta mengambil kira perjanjian bersama yang berkenaan,”kata FIFA.
Pelaksanaan rehat 72 jam secara ketat mungkin memerlukan penyesuaian besar terhadap jadual perlawanan dan perjanjian siaran TV. FIFA tidak menjelaskan bagaimana pelaksanaan ini akan dijalankan secara praktikal.
Sebagai contoh, kelab Eropah yang bermain dalam Liga Europa pada Khamis malam lazimnya akan bermain perlawanan liga domestik pada Ahad. Dengan syarat rehat 72 jam, mereka mungkin perlu menunggu hingga Isnin untuk bermain semula.
Menurut FIFA, satu hari rehat setiap minggu juga harus dibenarkan dan permintaan perjalanan serta keadaan iklim akan turut diambil kira dalam perancangan kejohanan masa hadapan.
-- BERNAMA-WAM
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial