DUNIA > BERITA

Menteri Luar Australia Penny Wong Kenang Sabah, Tegaskan Komitmen Terhadap ASEAN

15/07/2025 03:50 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Menteri Luar Australia Penny Wong berkata hubungan erat antara rakyat menjadi asas penting dalam membina persahabatan jangka panjang  antara Australia dan Malaysia.

Beliau berkata perkara itu turut disokong oleh sejarah dikongsi bersama kedua-dua negara serta kepercayaan kepada nilai kerjasama serantau yang teguh.

“Persahabatan Australia dan Malaysia dibina atas sejarah bersama, hubungan erat antara rakyat Australia dan Malaysia,” katanya menerusi satu hantaran video berdurasi satu minit 25 saat di akaun Instagram rasmi beliau, @senatorpennywong.

Video itu turut memaparkan rakaman zaman kanak-kanaknya di Kota Kinabalu, Sabah serta kemunculan beliau pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) dan mesyuarat berkaitan yang bertempat di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur minggu lepas. 

Wong berkata tahun ini menandakan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Australia-Malaysia, selain menyuarakan sokongan terhadap peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.

“Kami akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan serantau untuk menyokong visi bersama bagi Indo-Pasifik yang lebih selamat, terjamin dan makmur, ketika ASEAN memainkan peranan yang penting,” katanya.

Wong yang dilahirkan di Malaysia dan membesar di Australia berkata kisah hidup beliau mencerminkan realiti masyarakat moden di negara itu.

“Cerita saya seperti ramai rakyat Australia yang lain adalah sebuah kisah Australia yang moden, dengan hampir separuh daripada rakyat Australia dilahirkan di luar negara atau mempunyai ibu bapa yang dilahirkan di luar negara,”katanya. 

Beliau berkata latar belakang pelbagai budaya ini merupakan antara kekuatan utama Australia dalam membina hubungan antarabangsa yang kukuh, termasuk dengan negara-negara Asia Tenggara.

“Ia membantu kami menemukan titik persamaan bersama-sama penduduk di seluruh dunia, termasuk di Asia Tenggara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan