NEW YORK, 17 Julai (Bernama-dpa) -- Perdana Menteri Kanada Mark Carney pada Rabu mengumumkan langkah baharu bagi melindungi industri keluli domestik dengan mengenakan tarif baharu, ketika negara itu berusaha menangani kesan dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS) yang tidak menentu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Carney berkata import yang mengandungi keluli yang dilebur dan dibentuk di China akan dikenakan tarif tambahan sebanyak 25 peratus, manakala import dari negara yang mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengan Kanada akan dikenakan tarif sebanyak 50 peratus sebaik sahaja jumlah import melebihi paras 2024.
Bagaimanapun, Carney menegaskan bahawa langkah baharu itu tidak terpakai kepada AS, dalam usaha untuk mengelakkan ketegangan lanjut dalam perang perdagangan yang dicetuskan oleh Presiden AS Donald Trump.
Kanada antara negara yang paling terkesan akibat tindakan perdagangan Trump yang tidak konsisten, apabila beliau menuduh Ottawa gagal menghalang kemasukan ubat opioid fentanyl ke AS - meskipun data menunjukkan hanya jumlah kecil bahan sintetik itu datang dari negara jiran di utara.
Kanada merupakan antara negara pertama - bersama Mexico - yang dikenakan tarif 25 peratus selepas Trump memulakan penggal kedua sebagai presiden pada Januari.
Minggu lalu, Trump menyatakan bahawa beliau akan menaikkan tarif ke atas import dari Kanada kepada 35 peratus mulai 1 Ogos.
Trump juga telah mengenakan tarif sebanyak 50 peratus ke atas semua import keluli dan aluminium ke AS, yang merupakan rakan dagang paling penting bagi Kanada.
Carney turut berjanji untuk melabur dalam industri keluli domestik serta mengumumkan hasrat untuk mengutamakan syarikat Kanada dalam pemberian kontrak awam pada masa hadapan.
-- BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial