DUNIA > BERITA

Ketua UNRWA: Kegagalan Desak Israel Benarkan Bantuan Ke Gaza Dianggap "Bersubahat"

21/07/2025 05:57 PM

mengolah headline

 

NEW YORK, 21 Julai (Bernama-WAFA) -- Ketua Pesuruhjaya Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), Philippe Lazzarini pada Ahad menegaskan bahawa kegagalan mendesak Israel supaya membenarkan bantuan memasuki Semenanjung Gaza merupakan satu bentuk “subahat” dalam usaha menyekat makanan kepada rakyat Palestin.

Beliau menyatakan bahawa “kegagalan untuk bertindak dianggap bersubahat dan menyebabkan kita hilang perikemanusiaan.”

Menurut Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA), dalam satu hantaran di platform X, Lazzarini memetik mesej yang sering diterima daripada kakitangan UNRWA di Gaza yang berbunyi, “Saya mencari sesuatu untuk memberi makan anak-anak saya, tetapi tiada apa-apa.”

Beliau mempersoalkan, "Bagaimana seseorang boleh membalas mesej yang penuh keputusasaan ini? Ia memalukan saya dan menggandakan rasa tidak berdaya."

Beliau menegaskan bahawa semua ini adalah perbuatan manusia dan Israel terus menikmati kekebalan sepenuhnya daripada sebarang hukuman.

Lazzarini turut menyatakan bahawa bekalan makanan sebenarnya berada hanya beberapa kilometer dari Gaza, sambil memaklumkan, “UNRWA sahaja mempunyai stok mencukupi di luar Gaza untuk keseluruhan penduduk bagi tempoh tiga bulan akan datang. Namun, kami tidak dibenarkan membawa masuk sebarang bantuan sejak 2 Mac.”

Beliau menekankan keperluan mendesak terhadap kemahuan politik sambil menyatakan: “Hanya kemahuan politik dan kepimpinan mampu menghentikan kebuluran berskala penuh ini."

Sementara itu, jumlah kematian akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan di Semenanjung Gaza meningkat kepada 18 kes dalam tempoh 24 jam.

Jumlah keseluruhan kematian akibat kebuluran kini mencecah 86 orang, termasuk 76 kanak-kanak, kebanyakannya di bahagian utara Gaza, di mana kira-kira 17,000 kanak-kanak sedang mengalami kekurangan zat makanan akut.

-- BERNAMA-WAFA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan