LONDON, 21 Julai (Bernama-Anadolu) -- Lebih 25 negara termasuk United Kingdom (UK), Australia dan Jepun serta Kesatuan Eropah (EU) pada Isnin mengecam tindakan Israel membunuh orang awam secara tidak berperikemanusiaan di Semenanjung Gaza, dan menggesa perang di wilayah yang dikepung itu ditamatkan segera, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam satu kenyataan bersama, menteri luar dari 25 negara serta Pesuruhjaya EU bagi Kesamaan, Kesiapsiagaan dan Pengurusan Krisis, Hadja Lahbib, menyatakan penderitaan rakyat awam di Gaza telah mencapai "tahap paling parah."
“Model penyaluran bantuan oleh Kerajaan Israel adalah berbahaya, menjejaskan kestabilan dan menafikan maruah rakyat Gaza,” menurut kenyataan itu.
“Kami mengecam penyaluran bantuan secara titisan dan pembunuhan tidak berperikemanusiaan terhadap orang awam, termasuk kanak-kanak, yang sedang berusaha mendapatkan keperluan asas seperti air dan makanan.”
Kenyataan itu menyifatkan pembunuhan lebih 800 rakyat Palestin ketika cuba mendapatkan bantuan sejak penubuhan kontroversi Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) pada akhir Mei sebagai “mengerikan” dan menegaskan bahawa penafian bantuan penting oleh Kerajaan Israel kepada penduduk awam adalah “tidak boleh diterima.”
“Israel mesti mematuhi kewajipannya di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” tegas kenyataan itu.
Kenyataan itu ditandatangani oleh menteri luar dari Australia, Austria, Belgium, Kanada, Denmark, Estonia, Finland, Perancis, Iceland, Ireland, Itali, Jepun, Latvia, Lithuania, Luxembourg, Belanda, New Zealand, Norway, Poland, Portugal, Slovenia, Sepanyol, Sweden, Switzerland dan UK serta Pesuruhjaya EU.
Kenyataan itu turut mengecam penahanan tawanan dan menggesa pembebasan mereka “serta-merta dan tanpa syarat.”
“Kami menggesa Kerajaan Israel agar segera menarik balik sekatan terhadap aliran bantuan dan membenarkan PBB serta badan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan melaksanakan kerja-kerja menyelamat secara selamat dan berkesan.”
Menggesa semua pihak untuk melindungi orang awam dan mematuhi kewajipan di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, kenyataan itu juga menolak cadangan pemindahan penduduk Palestin ke “kota kemanusiaan” sebagai “sama sekali tidak boleh diterima.”
“Pemindahan paksa secara kekal adalah satu pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Kami menentang sebarang langkah ke arah perubahan wilayah atau demografi di Wilayah Palestin yang Diduduki.”
Pihak-pihak berkenaan turut menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Amerika Syarikat, Qatar dan Mesir untuk mencapai gencatan senjata serta-merta, tanpa syarat dan berkekalan.
-- BERNAMA-ANADOLU
TAG: Israel, pembunuhan tidak berperikemanusiaan, Semenanjung Gaza, mengecam
NBA2 NBA2 MK
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial