Oleh Kenny Teng
BANGKOK, 28 Julai (Bernama) -- Enam individu termasuk empat pengawal keselamatan maut dalam insiden tembakan pada tengah hari Isnin berhampiran Pasar Hujung Minggu Chatuchak di sini.
Serangan berlaku kira-kira 12.30 tengah hari (waktu tempatan) di Pasar Makanan Segar Or Tor Kor yang terkenal, apabila suspek berpakaian baju-T hitam, seluar pendek ala tentera dan membawa beg galas dipercayai melepaskan tembakan menggunakan sepucuk pistol.
Ketua Polis Diraja Thailand, Jen Pol Kitrat Phanphet yang mengesahkan kejadian itu berkata suspek merupakan seorang lelaki dan telah menembak mati diri sendiri di lokasi kejadian.
“Polis sedang mengenal pasti identiti suspek dan menyiasat motif serangan ini,” katanya dalam kenyataan ringkas pada Isnin.
Kitrat turut mengarahkan Biro Polis Metropolitan agar segera menjalankan siasatan menyeluruh, mengumpul seberapa banyak bukti dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan menyelesaikan kes itu dengan segera.
Pusat Perubatan Kecemasan Bangkok, atau lebih dikenali sebagai Pusat Erawan, dalam kenyataan turut mengesahkan bahawa mangsa yang terkorban terdiri daripada empat pengawal keselamatan, seorang wanita dan suspek sendiri.
“Dua wanita turut cedera dan telah dihantar ke Hospital Phyathai Phahol oleh pasukan sukarelawan,” menurut kenyataan pusat itu.
-- BERNAMA
TAG: Thailand, tembakan, Pasar Minggu Chatuchak, Jen Pol Kitrat Phanphet, Pusat Erawan.
WW KTK MK
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial