DUNIA > BERITA

Thailand, Kemboja Setuju Untuk Gencatan Senjata - PM Anwar

28/07/2025 11:13 PM

Oleh Linda Khoo & Amanina Mohamad Yusof

PUTRAJAYA, 28 Julai (Bernama) -- Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat bagi meredakan ketegangan di sepanjang sempadan yang dipertikaikan, hasil satu mesyuarat khas yang diadakan di Putrajaya pada Isnin.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan persetujuan itu selepas mempengerusikan mesyuarat khas antara Thailand dan Kemboja di Kompleks Seri Perdana di sini.

Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai menghadiri mesyuarat yang bermula pada pukul 3 petang itu.

Turut hadir ialah Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Edgard Kagan dan Duta China ke Malaysia Ouyang Yujing, dengan Amerika Syarikat bertindak selaku penganjur bersama manakala China sebagai pemerhati bagi menyokong penyelesaian damai terhadap krisis berkenaan.

Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan turut hadir pada mesyuarat khas itu.

“Perdana Menteri Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Phumtham telah menyatakan pendirian dan kesediaan untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta serta memulihkan keadaan kepada sediakala.

“Sebagai Pengerusi ASEAN ketika ini, Malaysia bersedia menyelaras satu pasukan pemerhati bagi mengesahkan dan memastikan pelaksanaan gencatan senjata.

“Malaysia juga akan berunding dengan negara anggota ASEAN lain untuk menyertai usaha pemerhatian ini, sebagai mencerminkan komitmen serantau dalam menyokong keamanan di lapangan,” katanya pada sidang media bersama.

Pada sidang media itu, Anwar berkata Kemboja dan Thailand mencapai satu persefahaman bersama termasuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat, berkuat kuasa mulai pukul 24:00 (waktu tempatan) pada 28 Julai.

“Ini merupakan langkah pertama yang penting ke arah meredakan ketegangan serta memulihkan keamanan dan keselamatan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Thailand dan Kemboja akan mengadakan mesyuarat tidak rasmi antara pegawai pemerintah serantau pada pukul 7 pagi 29 Julai, diikuti mesyuarat bersama Atase Pertahanan yang diketuai oleh Pengerusi ASEAN, tertakluk kepada persetujuan bersama.

Thailand dan Kemboja juga bersetuju untuk mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) pada 4 Ogos dan Kemboja menjadi tuan rumah.

Sementara itu, Anwar berkata kedua-dua negara turut bersetuju menyambung semula komunikasi langsung antara kedua-dua Perdana Menteri, Menteri Luar dan Menteri Pertahanan.

Beliau berkata Menteri Luar dan Menteri Pertahanan Malaysia, Kemboja dan Thailand telah diarahkan untuk membangunkan mekanisme terperinci bagi pelaksanaan, pengesahan dan pelaporan berhubung gencatan senjata itu.

“Mekanisme ini akan menjadi asas kepada keamanan yang berkekalan dan kebertanggungjawapan,” katanya.

Anwar berkata mesyuarat ini turut mengesahkan tekad bersama Malaysia, Kemboja dan Thailand untuk menegakkan prinsip undang-undang antarabangsa, hidup bersama secara aman serta kerjasama pelbagai hala dalam mencari penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap situasi ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa Presiden Amerika Syarikat Donald Trump telah menghubungi pemimpin kedua-dua negara bagi menggesa mereka mencari penyelesaian secara aman.

Selain itu, beliau berkata pihak China juga dilaporkan sentiasa berhubung rapat dengan Kemboja, Thailand, Malaysia dan negara berkaitan bagi menggalakkan dialog, gencatan senjata dan pemulihan keamanan secara aktif.

“Kehadiran dan kerjasama semua pihak menunjukkan komitmen bersama terhadap keamanan, dialog dan kestabilan serantau,” katanya.

Kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu mempunyai sejarah pertikaian diplomatik berhubung kawasan sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum ditanda sepenuhnya.

Ketegangan antara Thailand dan Kemboja yang sebelum ini terpendam, tercetus sejak 28 Mei susulan pertempuran antara tentera kedua-dua negara di kawasan sempadan yang dipertikaikan berhampiran Preah Vihear, yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.

Pertempuran terbaharu  kemudian tercetus pada 24 Julai, dengan beberapa kejadian pertempuran bersenjata dilaporkan di kawasan sempadan utara Kemboja, menyebabkan korban jiwa di kedua-dua pihak.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan