DUNIA > BERITA

Lula Bantah Tarif AS, Tolak Tekanan Terhadap Sumber Mineral Kritikal Brazil

29/07/2025 06:04 PM

RIO DE JANEIRO, 29 Julai (Bernama-Xinhua) -- Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva pada Isnin menggesa Amerika Syarikat (AS) mempertimbangkan semula cadangan mengenakan tarif 50 peratus ke atas barangan Brazil yang dijadual berkuat kuasa 1 Ogos ini, lapor Xinhua.

Beliau turut menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha menjadikan sumber mineral kritikal negaranya sebagai bahan tawar-menawar dalam rundingan perdagangan.

Berucap ketika merasmikan sebuah loji jana kuasa termoelektrik di negeri Rio de Janeiro, Lula menyifatkan tarif yang dikenakan AS sebagai “tindakan mengejut dan bersifat sepihak,” selain menolak cadangan Washington untuk memasukkan mineral nadir bumi Brazil dalam rundingan perdagangan.

“AS sepatutnya memilih jalan dialog – seperti yang dilakukan negara-negara bertamadun,” katanya.

Lula menegaskan bahawa sumber mineral berkenaan adalah milik rakyat Brazil dan rakyat berhak menikmati kekayaan yang mampu dijana daripadanya.

Menyedari bahawa hanya 30 peratus daripada potensi mineral Brazil telah diterokai, Lula mengumumkan penubuhan suruhanjaya untuk menjalankan tinjauan komprehensif sumber mineral negara yang belum diterokai.

“Kita akan benarkan syarikat membuat kajian, tetapi di bawah kawalan kita,” katanya.

Syarikat yang diberi kebenaran untuk meneroka perlu mendapatkan kelulusan kerajaan sebelum menjual atau memindahkan hak ke atas kawasan yang mengandungi sumber mineral itu, katanya.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan