Oleh Nabilah Saleh
KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada Oktober ini disifatkan sebagai detik penting dalam landskap diplomasi serantau, ketika Malaysia memanfaatkan kedudukannya sebagai Pengerusi ASEAN untuk menjadi pengantara berkecuali dalam persaingan kuasa-kuasa besar dunia.
Pengesahan itu, yang dibuat ketika persaingan strategik antara AS dan China terus memuncak, turut meningkatkan jangkaan bahawa Kuala Lumpur boleh menjadi platform langka bagi pertemuan secara langsung atau selari antara pemimpin-pemimpin dunia termasuk Presiden China Xi Jinping dan Presiden Rusia Vladimir Putin - sekiranya mereka turut hadir.
Penganalisis berpendapat penyertaan Trump, susulan kejayaan Malaysia mengantara gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja serta pendekatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menjalin hubungan dengan Washington dan Beijing, mencerminkan kredibiliti diplomatik Malaysia yang semakin menyerlah di peringkat global.
TINDAKAN DIPLOMATIK CEMERLANG
Menurut pakar geostrategi Prof Dr Azmi Hassan, keputusan Trump itu merupakan satu tindakan diplomatik cemerlang buat Malaysia dan bukti kepada kepimpinan inklusif Anwar.
“Perdana Menteri tidak mengetepikan AS ketika merundingkan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja. Sebaliknya, beliau memastikan kedua-dua AS dan China turut terlibat dalam perbincangan serantau yang lebih luas,” kata Dr Azmi, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara.
Beliau berkata perkara itu membuktikan bahawa Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN, mengiktiraf kepentingan kedua-dua kuasa besar itu tanpa meminggirkan mana-mana pihak.
“Itulah barangkali sebab utama Trump bersetuju hadir, susulan lawatan kerja Perdana Menteri ke Itali baru-baru ini,” katanya.
Trump telah mengesahkan kehadirannya ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur pada Oktober ini.
Pengumuman itu dibuat Anwar semasa pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Parlimen pada Khamis.
Pengesahan itu menyusuli jemputan rasmi yang disampaikan kepada Trump menerusi Setiausaha Negara AS Marco Rubio semasa kunjungan hormat beliau ke Bangunan Parlimen pada 10 Julai lepas.
Mengulas lanjut, Azmi berkata Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni dan Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva turut menerima jemputan daripada Malaysia, mencerminkan minat global yang semakin meningkat terhadap ASEAN di bawah kepimpinan Malaysia.
“Malaysia menunjukkan ia mampu mewujudkan platform bagi kuasa-kuasa besar untuk berdialog. Itu sendiri sudah menjadi kejayaan diplomatik,” katanya.
PENDEKATAN "TUNGGU DAN LIHAT"
Sementara itu, walaupun kehadiran Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN disambut baik sebagai kejayaan diplomatik buat Malaysia, Pensyarah Kanan di Fakulti Kerajaan, Universidad del Desarrollo, Chile Dr Brice Tseen Fu Lee berpandangan negara-negara Asia Tenggara dijangka mengambil pendekatan "tunggu dan lihat" bagi menilai sama ada ini benar-benar perubahan ikhlas atau sekadar lawatan bersifat populis.
Namun, beliau mengakui bahawa Malaysia telah meraih perhatian serantau dan antarabangsa melalui kepimpinannya sebagai Pengerusi ASEAN.
“Rundingan gencatan senjata baru-baru ini antara Thailand dan Kemboja merupakan kejayaan diplomatik besar buat Malaysia. Dengan menjadi tuan rumah kepada Trump, Malaysia diberi peluang untuk memperlihatkan kepimpinannya,” katanya, sambil menambah bahawa tahap keterlihatan ini turut melonjakkan profil negara di peringkat global.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa kehadiran Trump mungkin menimbulkan kerumitan, khususnya dalam aspek perdagangan dan keselamatan.
“Pemimpin ASEAN akan berhati-hati. Gaya Trump lebih menjurus kepada rundingan dua hala, yang boleh menjejaskan perpaduan ASEAN dan mendorong negara anggota bertindak secara bersendirian,” katanya, sambil merujuk kepada pengalaman lalu apabila konsesi tarif hanya diberikan kepada negara yang bersetuju membuat pembelian besar daripada AS.
Namun begitu, beliau tetap berharap bahawa pengendalian sidang kemuncak oleh Malaysia dapat mengarahkan agenda ke arah dialog yang membina dan seimbang.
“Cara Perdana Menteri Anwar mengendalikan situasi ini akan menjadi penentu. Ia adalah peluang besar, tetapi juga cabaran yang besar,” kata Tseen.
Kali terakhir seorang Presiden AS menghadiri sidang kemuncak itu di Kuala Lumpur, ialah Barack Obama pada November 2015.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial