DUNIA > BERITA

Kementerian Luar Thailand Anjur ‘ASEAN Run’ Sempena Hari ASEAN

08/08/2025 03:40 PM

Oleh Kenny Teng

BANGKOK, 8 Ogos (Bernama) -- Kementerian Luar Thailand menganjurkan ‘ASEAN Family Run 2025’ pada Jumaat bagi memperingati ulang tahun ke-58 penubuhan ASEAN.

Kuasa Usaha Sementara Malaysia ke Thailand, Bong Yik Jui berkata beliau berbesar hati menyaksikan Menteri Luar Thailand Maris Sangiampongsa, Gabenor Bangkok Chadchart Sittipunt dan pasukan Kementerian Luar Thailand (MFA) turut serta dalam acara berkenaan.

Bong berkata bahawa Thailand, bersama Malaysia dan Indonesia merupakan antara negara pengasas ASEAN, dan ketiga-tiganya terus menunjukkan komitmen mempromosikan keamanan serta kemakmuran merentasi semua sektor di rantau ini.

“Terima kasih kepada MFA Thailand kerana menganjurkan ‘ASEAN Family Run 2025’ dan upacara menaikkan bendera bagi meraikan ulang tahun ke-58 penubuhan ASEAN.

"Semua orang kelihatan gembira dan ceria. Saya tidak sabar untuk acara serupa pada tahun-tahun akan datang," katanya kepada Bernama selepas acara itu pada Jumaat.

Kira-kira 500 peserta termasuk anggota kor diplomatik dari negara anggota ASEAN, Timor-Leste, rakan dialog ASEAN, rakan dialog sektoral dan rakan pembangunan, serta wakil agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan antarabangsa dan orang awam mengambil bahagian dalam acara di Taman Lumpini di sini.

Dalam ucapan pembukaan ringkasnya, Maris berkata tahun ini merupakan kali pertama Jabatan Hal Ehwal ASEAN, MFA, menjadi tuan rumah acara itu, yang bertepatan dengan Hari ASEAN.

“Thailand sebagai antara negara perintis, berhasrat melihat ASEAN menjadi lebih kukuh, lebih bekerjasama dan komited memajukan rantau ini ke arah masyarakat dan ekonomi yang berdaya tahan,” katanya.

‘ASEAN Family Run 2025’ menampilkan acara larian sejauh 2.5 kilometer mengelilingi Taman Lumpini. Sebelum larian bermula, Upacara Menaikkan Bendera ASEAN diadakan bagi memperingati Hari ASEAN.

Acara itu bertujuan memupuk perpaduan dan solidariti dalam kalangan keluarga ASEAN, di samping mempromosikan gaya hidup sihat dan seimbang, selaras dengan visi ASEAN untuk membina komuniti yang berdaya tahan, inklusif dan berteraskan rakyat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan