THE HAGUE (Belanda), 10 Ogos (Bernama) -- Aroma nasi lemak dan teh tarik yang baru dibancuh memenuhi ruang udara, manakala persembahan kebudayaan yang memukau menyerikan suasana sambutan Hari ASEAN 2025 yang meriah di The Hague.
Pameran berwarna-warni yang menonjolkan kekayaan warisan Asia Tenggara dihidupkan apabila Kedutaan Besar Malaysia, bersama-sama kedutaan Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam, meraikan acara itu pada Jumaat dengan seruan baharu untuk perpaduan.
Para tetamu menikmati suasana pagi yang meriah dengan pertukaran budaya, semangat keakraban dan keunikan hospitaliti ASEAN, dengan hidangan istimewa dari Malaysia – nasi lemak, teh tarik dan serawa durian yang disediakan khas – menjadi tumpuan dan menerima pujian daripada para hadirin.
Dalam satu kenyataan, Kedutaan Besar Malaysia di The Hague berkata para diplomat, pegawai kerajaan dan orang ramai berkumpul untuk meraikan kepelbagaian rantau ini di bawah tema tahun ini: "Ke Arah Masa Depan ASEAN yang Inklusif dan Mampan"
Duta Besar Malaysia merangkap Pengerusi Jawatankuasa ASEAN di The Hague (ACTH), Datuk Roseli Abdul dalam ucapan alu-aluannya menekankan pencapaian cemerlang ASEAN sejak beberapa dekad dan menyeru usaha diperbaharui untuk membina Komuniti ASEAN yang berdaya tahan, inovatif dan berteraskan rakyat.
Majlis itu diserikan dengan kehadiran Duta-duta ASEAN dari Brussels, Duta Timor-Leste dari London, wakil-wakil daripada Kerajaan Belanda dan organisasi antarabangsa selain wakil media.
Gerrie Willems, yang mewakili Kementerian Luar Belanda, mengesahkan semula hubungan erat antara ASEAN dan Belanda. Beliau menyuarakan keyakinan bahawa kedua-dua pihak akan terus meneroka peluang baharu dan mengukuhkan kerjasama berdasarkan sikap saling menghormati dan nilai bersama.
Sambutan Hari ASEAN 2025 disifatkan sebagai satu kejayaan cemerlang, sekali gus menzahirkan komitmen bersama negara Anggota ASEAN untuk mengeratkan persahabatan, kerjasama dan persefahaman budaya di Belanda dan di peringkat antarabangsa.
Acara itu disokong oleh Pejabat Kaunselor Pertanian, MATRADE dan Tourism Malaysia di The Hague.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial