FUKUOKA (Jepun), 11 Ogos (Bernama-Kyodo) -- Beberapa orang dilaporkan masih hilang di barat daya Jepun pada Isnin apabila hujan lebat berterusan mencetuskan kejadian tanah runtuh, lapor Agensi Berita Kyodo memetik pihak berkuasa tempatan dan pasukan penyelamat.
Seorang lelaki yang sedang berpindah bersama keluarganya dengan sebuah kereta dilaporkan hilang akibat tanah runtuh di bandar Kosa, Wilayah Kumamoto. Tiga lagi individu dalam kenderaan itu berjaya diselamatkan.
Terdapat laporan lain mengenai kejadian tanah runtuh yang menjejaskan rumah dan kenderaan penduduk di wilayah itu.
Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan di bandar Misato bagi menyelamatkan seorang penduduk terperangkap dalam sebuah rumah yang runtuh.
Di wilayah jiran, Fukuoka, dua orang dipercayai dihanyutkan arus deras sungai di bandar Fukutsu pada Ahad malam, menurut pihak berkuasa tempatan.
Sementara itu, Perdana Menteri Shigeru Ishiba memberitahu pemberita pada Isnin pagi bahawa kerajaannya “komited melaksanakan langkah tindak balas bencana,” sambil menggesa penduduk agar sentiasa berwaspada.
Agensi meteorologi telah memberi amaran mengenai hujan lebat di wilayah Kumamoto dan Nagasaki susulan jalur hujan yang merentasi kepulauan Jepun membanjiri kawasan yang luas di negara itu.
Bandar Tamana di Kumamoto merekodkan 370 milimeter hujan dalam tempoh enam jam sehingga awal pagi Isnin, hampir dua kali ganda purata hujan sepanjang Ogos di bandar itu, menurut Agensi Meteorologi Jepun.
JR Kyushu, yang beroperasi di barat daya Jepun, memaklumkan pihaknya menggantung semua perkhidmatan kereta api laju sehingga Isnin.
-- BERNAMA-Kyodo
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial