DUNIA > BERITA

Bangladesh Harap Sokongan Malaysia Dalam Usaha Pembangunan Semula – Yunus

12/08/2025 02:49 PM

PUTRAJAYA, 12 Ogos (Bernama) -- Bangladesh mengharapkan sokongan Malaysia dalam usaha pembangunan semula ketika negara kembali pulih selepas kebangkitan pelajar tahun lepas.

Ketua Penasihat kerajaan Bangladesh Dr Muhammad Yunus, berkata negaranya kini berada di landasan betul ke arah pemulihan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sokongan yang diberikan pada saat negara itu berdepan masa yang mencabar.

Bercakap pada sidang media bersama Anwar di sini pada Isnin, penerima Hadiah Nobel itu mengimbas kembali ketika saat beliau memegang jawatan tahun lalu, Anwar merupakan pemimpin asing pertama yang melawat Bangladesh.

Menyifatkan Anwar sebagai “sahabat di waktu susah”, Yunus berkata:

“Ia adalah perasaan yang amat bermakna apabila mendapat kunjungan seorang sahabat pada saat kita amat memerlukan sokongan.

“Ketika itu, kami tidak pasti arah tuju yang sedang diambil. Kehadiran itu menguatkan tekad kami untuk memastikan Bangladesh berada di laluan yang betul.”

Beliau berkata sejak mengetuai kerajaan, pelbagai langkah telah diambil untuk memulihkan keadaan negara.

“Kami gembira dapat memulihkan ketenteraman negara, mengembalikan kestabilan ekonomi, serta menghidupkan semula institusi-institusi dan fungsinya.

“Kini kami bersedia untuk pilihan raya yang akan diadakan pada Februari depan bagi membentuk kerajaan baharu. Jadi kami memerlukan banyak sokongan dan kami sentiasa mengharapkan sokongan Malaysia,” katanya.

Mengenai pertemuan dengan Anwar, Yunus menyatakan keyakinan dan kesediaan Bangladesh untuk bekerjasama dengan Malaysia di peringkat dua hala dan pelbagai hala.

Yunus yang kini dalam lawatan rasmi tiga hari di sini, turut menjemput komuniti perniagaan Malaysia untuk melabur di Bangladesh yang disifatkannya mempunyai “peluang besar”.

Selain itu, Bangladesh turut memohon bantuan Malaysia, khususnya sebagai Pengerusi ASEAN ketika ini dalam menangani isu pelarian Rohingya di negaranya, kata beliau.

“Kami memerlukan segala bantuan yang dapat diberikan, dan Malaysia adalah rakan baik,” kata Yunus.

Pada 2024, perdagangan Malaysia–Bangladesh meningkat 5.1 peratus kepada RM13.35 bilion (US$2.92 bilion).

Bangladesh merupakan rakan dagang dan destinasi eksport kedua terbesar Malaysia di Asia Selatan, dengan eksport utama termasuk produk petroleum, minyak sawit dan bahan kimia, manakala import terdiri daripada tekstil, kasut, produk petroleum dan barangan perkilangan.

Hubungan diplomatik antara kedua-dua negara terjalin sejak 1972.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan