Oleh Tuwaedaniya Meringing
PATTANI, 13 Ogos (Bernama) -- Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO) merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas komitmen Malaysia sebagai pengantara dalam usaha mendamaikan konflik di Pattani, wilayah selatan Thailand.
Presiden PULO, Kasturi Mahkota, berkata kenyataan Anwar baru-baru ini membawa sinar harapan baharu kepada rakyat Pattani yang sekian lama mendambakan keadilan, keamanan serta penyelesaian yang menyeluruh, adil dan berkekalan terhadap isu Pattani.
“Kami yakin pendekatan Malaysia yang berlandaskan diplomasi, dialog dan saling menghormati akan membuka jalan kepada perundingan yang konstruktif,” katanya dalam sepucuk surat yang ditujukan kepada Anwar, baru-baru ini.
Pada 8 Ogos lepas, ketika lawatan ke Kelantan, Anwar mengumumkan bahawa Malaysia bersedia menjadi pengantara bagi mendamaikan konflik di selatan Thailand serta berusaha menghentikan ketegangan antara pihak-pihak yang bertelagah.
Beliau berkata Malaysia akan mempertingkat usaha mencari kedamaian di wilayah itu agar pengajian Islam dapat diteruskan dan bahasa Melayu terus dimartabatkan.
Selain itu, Kasturi menegaskan bahawa PULO bersedia sepenuhnya untuk bekerjasama dan memberikan segala sokongan yang diperlukan bagi menjayakan misi tersebut.
“Kami juga percaya usaha ini akan mengukuhkan lagi hubungan persaudaraan yang sedia terjalin antara rakyat Pattani dan rakyat Malaysia,” katanya.
Kasturi turut berharap segala usaha ini diberkati dan membuahkan kejayaan demi keamanan yang berkekalan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial