SHANGHAI, 14 Ogos (Bernama-CMG) -- Lebih 3,000 perusahaan pelaburan asing baharu ditubuhkan di Shanghai dalam tempoh enam bulan pertama 2025, dengan kelulusan pelaburan asing mencecah US$8.5 bilion (RM35.67 bilion).
Sementara itu, terdapat 1,042 konglomerat yang menempatkan pejabat daerah di Shanghai, manakala jumlah pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) berasaskan pelaburan asing yang beroperasi di bandar itu telah mencapai 605 buah.
Di sebalik suasana perdagangan antarabangsa kini yang penuh dengan ketidakstabilan dan ketidaktentuan, Shanghai terus menonjol di pentas dunia sebagai destinasi pelaburan asing paling rancak, didorong oleh kekuatan inovasi, keterbukaan kerjasama dan persekitaran perdagangan yang kondusif.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Jungheinrich Jerman, Lars Brzoska berkata China telah menghasilkan pelbagai pencapaian inovatif, meneroka teknologi termaju, serta membangunkan penyelesaian berteknologi tinggi yang sedia dikongsi dengan dunia.
Jungheinrich baru-baru ini menubuhkan pusat pengeluaran peralatan asal (OEM) di Shanghai ekoran rantaian bekalan di China cekap, fleksibel, dan sarat dengan daya inovasi.
Brzoska berkata syarikatnya akan menggandakan peranan dalam rantaian pembuatan dan inovasi di Delta Sungai Yangtze, di samping memperkenalkan lebih banyak teknologi serta produk buatan tempatan ke pasaran global.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan LEGO, Niels Christiansen menegaskan bahawa kemajuan China dalam perlindungan hak harta intelek menjadi faktor utama keyakinan syarikatnya untuk terus melabur di negara itu.
“Hak harta intelek dan nilai jenama adalah terjamin sepenuhnya di China,” katanya.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial