DUNIA > BERITA

Bina Komuniti Berkongsi Nasib Lancang-Mekong Ke Arah Lebih Padu -- MFA

14/08/2025 05:00 PM

BEIJING, 14 Ogos (Bernama-CMG) -- China berhasrat bekerjasama dengan negara-negara di Lembangan Sungai Lancang-Mekong bagi membina jalur ekonomi yang lebih kukuh dan akomodatif serta mendorong pembangunan komuniti berkongsi nasib Lancang-Mekong yang lebih padu, kata jurucakap Kementerian Luar (MFA) dalam sidang media di sini pada Rabu.

Jurucakap MFA itu berkata, usaha itu diyakini mampu menambah unsur kestabilan dan menyuntik momentum baharu bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat serta mengekalkan pembangunan mampan di rantau terbabit.

Menurut laporan, Menteri Luar China Wang Yi akan mempengerusikan Mesyuarat Menteri Luar Ke-10 Kerjasama Lancang-Mekong (LMC) dan mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan Menteri Luar dari Laos, Myanmar dan Thailand.

 Dalam pada itu, jurucakap MFA berkata, China berharap dapat memanfaatkan mesyuarat kali ini bagi mengemaskini program kerjasama dengan negara-negara di lembangan Lancang-Mekong, merumuskan pengalaman kejayaan, dan merangka hala tuju pembangunan mekanisme serantau pada masa depan.

Tahun ini menandakan tahun ke-10 penubuhan mekanisme LMC.

Ketika ini, negara-negara di Lembangan Sungai Lancang-Mekong berada pada fasa kritikal untuk memacu pembangunan domestik masing-masing.

Dalam menghadapi suasana antarabangsa yang bergolak, termasuk amalan hegemoni unilateral dan peningkatan fahaman perlindungan, negara-negara Lancang-Mekong diseru memperkukuh solidariti, meningkatkan kolaborasi dan menggalakkan pembangunan bersama. 

Pertemuan tidak rasmi antara Menteri Luar China, Laos, Myanmar dan Thailand kali ini akan menumpukan pada isu-isu yang menjadi perhatian bersama, termasuk situasi serantau dan tindakan bersama untuk memerangi jenayah rentas sempadan.

-- BERNAMA-CMG

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan