Oleh Noor Bakhtiar Ahmad and Voon Miaw Ping
KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Dhaka tahun lalu memberi suntikan moral yang sangat diperlukan kepada rakyat Bangladesh yang baru bangkit daripada kemelut politik, kata Ketua Penasihat Bangladesh Prof Dr Muhammad Yunus.
Beliau berkata lawatan itu turut membawa harapan kepada negara ketika melalui tempoh paling mencabar.
Yunus, yang mengetuai kerajaan sementara sejak 8 Ogos 2024, mengimbas kembali suasana tidak menentu yang dihadapi Bangladesh pada awal tempoh selepas kebangkitan anak muda pada Julai hingga menyingkirkan bekas perdana menteri Sheikh Hasina.
Beliau menyamakan keadaan itu seperti dilanda “gempa bumi berukuran 9.0 skala Richter” ketika segalanya “musnah, huru hara dan tidak berfungsi - hanya kemarahan.”
“Kami diberi tanggungjawab untuk mentadbir negara dalam keadaan yang amat sukar. Tugasnya bukan sekadar membersihkan (kekacauan), tetapi membinanya semula.
“Jadi kami mencari jalan dan ruang untuk bergerak ke hadapan.
“Dan ketika kami sibuk memikirkan cara melakukannya, kami menerima berita baik, Perdana Menteri Malaysia akan melawat kami,” katanya.
Pemenang Anugerah Nobel Keamanan itu berkongsi pandangan mengenai lawatan Anwar dalam temu bual eksklusif bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), diketuai Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj, bersama Editor Perkhidmatan Berita Antarabangsa Voon Miaw Ping dan Penolong Editor Perkhidmatan Berita Ekonomi Kisho Kumari Sucedaram, sebelum mengakhiri lawatan rasminya di Malaysia minggu ini.
Anwar melawat Bangladesh pada Oktober 2024, menjadi pemimpin asing pertama mengadakan lawatan penting itu, dua bulan selepas pentadbiran pimpinan Yunus dibentuk bagi memulihkan keadaan negara.
“Beliau memberi harapan kepada kami. Kehadirannya amat mengujakan rakyat. Malaysia dikenali oleh seluruh rakyat Bangladesh kerana begitu ramai warga kami berada di Malaysia bersama keluarga mereka.
“Ia bukan negara yang asing bagi kami. Jadi apabila Perdana Menteri Malaysia berkata, ‘Ya, kami bersama anda’, ia sangat bermakna kepada rakyat Bangladesh. Lawatan beliau menyuntik semangat dan inspirasi,” kata Yunus.
Yunus, 85, juga seorang ahli ekonomi dan usahawan sosial. Beliau menubuhkan Grameen Bank pada 1983 yang menawarkan perkhidmatan pinjaman mikro tanpa cagaran kepada golongan kurang berkemampuan, khususnya wanita di Bangladesh.
Malaysia menjadi negara pertama yang mengguna pakai model Grameen Bank melalui penubuhan Amanah Ikhtiar Malaysia.
Ketua Penasihat itu mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia dari 11 hingga 13 Ogos, termasuk mengadakan pertemuan dengan Anwar bagi menilai kemajuan hubungan Malaysia-Bangladesh, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, tenaga kerja, pendidikan, pelancongan dan pertahanan, selain membincangkan perkembangan serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Beliau turut bertemu pemimpin tempatan serta tokoh perniagaan dari pelbagai sektor bagi mengukuhkan hubungan dua hala.
“Kami mengadakan lawatan yang indah dan sangat berjaya. Kami gembira dengan lawatan ini. Semua pihak begitu pemurah meluangkan masa. Pegawai dan pemimpin yang ingin kami temui semuanya hadir,” katanya.
Yunus yakin bahawa lawatan itu akan terus mengukuhkan hubungan dua hala serta meluaskan kerjasama dalam bidang yang memberi manfaat bersama, berdasarkan hubungan erat yang terjalin sejak hubungan diplomatik bermula pada 1972.
“Sudah tentu hubungan ini akan terus menjadi semakin kukuh,” tegasnya.
Bangladesh adalah rakan dagang dan destinasi eksport kedua terbesar Malaysia di Asia Selatan, dengan eksport utama termasuk produk petroleum, minyak sawit dan bahan kimia, manakala import terdiri daripada tekstil, kasut, produk petroleum dan barangan perkilangan.
Pada 2024, perdagangan Malaysia-Bangladesh meningkat 5.1 peratus kepada RM13.35 bilion (US$2.92 bilion).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial