DUNIA > BERITA

Kekalkan Usaha Damai Thailand-Kemboja Menjelang Sidang Kemuncak ASEAN Oktober Ini - Penganalisis

16/08/2025 05:43 PM

Oleh Nabilah Saleh

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober ini akan menjadi ujian penting terhadap kemampuan Malaysia untuk mengekalkan momentum dalam menyelesaikan konflik sempadan Thailand-Kemboja, dengan penganalisis menyatakan bahawa kepemimpinan Kuala Lumpur telah memulihkan keyakinan terhadap keupayaan ASEAN untuk menangani pertikaian serantau.

Penganalisis itu berpandangan bahawa perjanjian gencatan senjata yang diusahakan pada Julai lepas dengan Malaysia sebagai pemudah cara bukan sahaja meredakan ketegangan antara kedua-dua negara jiran berkenaan, malah menunjukkan bahawa blok serantau itu, dengan kepimpinan yang tegas mampu bergerak melangkaui kenyataan dan memberikan hasil yang ketara.

Pengarah ISIS Thailand Dr Pongphisoot Busbarat berkata usaha berterusan Malaysia sebagai pemudah cara amat penting dalam membina kepercayaan antara pihak terlibat, mengukuhkan kredibiliti ASEAN dan mengelakkan konflik itu daripada berlarutan menjadi krisis berkepanjangan.

“Kepimpinan Malaysia pada masa ini amat penting, sudah tentu. Ia merupakan langkah pertama ke arah penyelesaian konflik dan kedua-dua pihak bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata, walaupun beberapa pertempuran kecil masih berlaku.

“Tetapi sekurang-kurangnya dengan semangat gencatan senjata itu, ia boleh terus dikekalkan. Saya fikir peranan Malaysia amat penting. Sebagai Pengerusi ASEAN, kedua-dua negara turut memberi kepercayaan kepada Malaysia untuk memainkan peranan ini,” katanya kepada Bernama.

Pongphisoot seterusnya menegaskan bahawa prinsip tidak campur tangan ASEAN kekal diguna pakai, tetapi dalam cabaran dan konteks global hari ini, ia nampaknya diterapkan dengan penyesuaian bagi membolehkan penyelesaian konflik yang lebih berkesan.

Beliau berkata prinsip tidak campur tangan ASEAN yang telah lama diamalkan harus diterapkan dengan cara yang membolehkan dan bukan menghalang penglibatan secara konstruktif.

“Dalam konteks geopolitik semasa, kita perlu menyesuaikan cara menggunakan prinsip tidak campur tangan dengan cara yang lebih bijak… ini tidak bermakna kita harus menjadikan norma dalaman itu sebagai halangan untuk menyelesaikan konflik pada peringkat ini,” katanya.

Sependapat dengan pandangan Pongphisoot, Pengarah Institut Pengajian Asia Timur Universiti Thammasat, Profesor Madya Dr Chaiwat Meesantan berkata sidang kemuncak Oktober ini merupakan peluang untuk menonjolkan peranan Malaysia dalam menjadi perantara gencatan senjata dan, dengan itu mencergaskan semula imej ASEAN.

Beliau berkata peranan Malaysia sebagai pemudah cara dalam perjanjian Julai lepas telah membuktikan bahawa ASEAN apabila dipimpin dengan keyakinan, mampu menyelesaikan pertikaian tanpa penglibatan kuasa luar.

“ASEAN memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu Thailand dan Kemboja mencapai penyelesaian kepada masalah dan bersetuju dengan gencatan senjata, seperti pada Julai lalu, dan ini membuktikan impak ASEAN apabila dipimpin dengan tegas - ia mampu menyelesaikan masalah melalui organisasi kita sendiri, bukan dari luar,” katanya.

Kedua-dua penganalisis itu juga bersetuju bahawa Filipina harus komited untuk mengekalkan momentum semasa apabila ia mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN tahun depan dan menyeru penglibatan lebih meluas dengan rakan dialog ASEAN untuk menyokong usaha damai.

Pongphisoot berkata penglibatan kuasa serantau lain boleh membantu ASEAN mengekalkan keseimbangan dan kestabilan dalam menghadapi dasar kuasa-kuasa besar yang sentiasa berubah.

“Melibatkan kuasa serantau lain akan memberi manfaat kepada ASEAN untuk mengekalkan keseimbangan terhadap ketidakstabilan dan perubahan dasar secara tiba-tiba oleh kuasa besar lain, bukan sahaja China, tetapi juga Rusia, sebagai contoh,” katanya.

Dalam nada yang sama, Chaiwat berpendapat bahawa Filipina tidak seharusnya menghadapi kesukaran untuk meneruskan proses itu, dengan syarat ia komited untuk mengekalkan momentum sedia ada.

“Perkara penting adalah untuk bermula; untuk meneruskannya sangat mudah… jika Filipina berjanji akan meneruskannya, saya percaya ia satu langkah yang baik untuk ASEAN,” katanya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dijadual berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober.

Selepas Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, Filipina dijadual mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN pada 2026.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan