Oleh Linda Khoo
CAMERON HIGHLANDS, 17 Ogos (Bernama) -- Menyusuri rabung hutan, mendaki lereng curam ladang teh ikonik Cameron Highlands dan berdepan cuaca tidak menentu, ribuan pelari mencabar diri dalam acara Cameron Ultra (CULTRA) setiap tahun pada Julai.
Daripada pendakian melelahkan hingga cerunan teknikal yang memerlukan tumpuan penuh, setiap kilometer menguji ketahanan walaupun dalam kalangan atlet paling berpengalaman.
“Be prepared, be very prepared” lebih daripada sekadar amaran, slogan CULTRA adalah satu janji yang membuatkan para pelari kembali tahun demi tahun untuk menempuh cabaran utama di tanah tinggi ini.
Kali pertama dianjurkan pada 2016 oleh penganjur tempatan Bolt Events Management (BOLT) dengan kerjasama Kelab Larian SUKADEI, acara ini berkembang menjadi acara "ultra-trail" utama Malaysia, terkenal dengan laluan yang menggabungkan keindahan dan cabaran.
Edisi kesembilan CULTRA tahun ini menarik penyertaan 2,500 pelari dari 39 negara menerusi lima kategori: 100 kilometer (km), 60km, 30km, 14km dan 4km, sekali gus menguji atlet ultra berpengalaman serta mengalu-alukan pendatang baharu.
Tahun ini juga mencatatkan babak baharu apabila Asics tampil sebagai penaja utama, secara rasmi menjenamakan acara itu sebagai “CULTRA 2025 Presented by Asics.”
Dalam acara utama 100km, Kristjan Chapman, 26, kelahiran Iceland, mengatasi pendakian berliku, laluan tidak menentu dan faktor cuaca untuk menjuarai CULTRA 2025, penampilan sulungnya dalam ultra-trail di Asia dengan catatan mengagumkan 13:14:54.
Beliau memecah rekod laluan sebanyak 1:06:53 meskipun berdepan kekejangan lewat perlumbaan akibat dehidrasi.
“Kemenangan ini amat bermakna bagi saya. Saya memang bercita-cita mahu menjuarai perlumbaan 100KM dan mencapainya pada percubaan ketiga di sebuah negara yang kini saya anggap sebagai rumah, menjadikannya lebih istimewa. Saya sangat gembira dengan keputusan ini,” kata Kristjan, yang kini menetap di Kuala Lumpur sebagai jurulatih dan pelari.
Beliau berhasrat kembali ke CULTRA tahun hadapan dan dahagakan saingan lebih hebat selepas berlari sendirian di hadapan tahun ini.
Ramai pelari berpengalaman turut kembali, termasuk pelari Malaysia, Sua Yih Huan, yang menceriakan penyokong tempatan dengan kejayaan berganda - juara keseluruhan lelaki Malaysia dan juara veteran, selain menduduki tempat kedua keseluruhan dengan catatan 16:33:03.
Namun, pelari berusia 45 tahun itu masih belum berpuas hati.
“Saya tidak capai sasaran menamatkan larian di bawah 15 jam. Saya benar-benar memandang rendah laluan, perlu mendaki setiap gunung dua kali membuatkan saya keletihan di penghujung perlumbaan.
“Saya pasti akan kembali ke CULTRA 2026, mungkin dengan sasaran masa lebih pantas untuk melihat sejauh mana saya mampu memperbaiki diri dalam setahun,” katanya kepada Bernama.
Di luar laluan larian, impak CULTRA turut dirasai komuniti Cameron Highlands.
Pengarah Pemasaran dan Komunikasi BOLT, Azlihana Abdul Rahim berkata acara itu lebih daripada sekadar ujian ketahanan kerana ia menggerakkan ekonomi tempatan, menyokong kelestarian dan membuka peluang pendapatan untuk masyarakat serta sektor pelancongan.
“CULTRA 2025 Presented by Asics bukan semata-mata perlumbaan "ultra-trail" . Ia adalah platform pelancongan sukan bertaraf antarabangsa yang memberi sumbangan besar kepada ekosistem sukan dan pelancongan Malaysia.
“Kami menjangka impak ekonomi melebihi RM12 juta, meningkat daripada RM10 juta pada edisi sebelumnya, hasil penyertaan pelari serta pelancong domestik dan antarabangsa,” katanya.
Seiring reputasi CULTRA yang semakin berkembang, Pengasas dan Ketua Pengarah BOLT, Hazemi Hamidi terus komited membangunkannya sebagai jenama tempatan yang berpengaruh di peringkat global.
“Visi kami adalah menjadikan CULTRA dikenali di seluruh dunia, menarik bukan sahaja peserta tempatan dan serantau, malah pelari elit dari seluruh dunia untuk bertanding di Malaysia,” katanya.
Menjelang edisi ke-10 pada 2026, Hazemi berkata CULTRA akan memperkenalkan elemen baharu sempena Tahun Melawat Malaysia untuk menarik lebih ramai pelari.
“Kami sedang menilai kemungkinan menambah jumlah peserta.
"Namun, memandangkan kapasiti laluan, kami mungkin melanjutkan acara daripada tiga hari kepada seminggu, dengan kategori bersegmen untuk menampung jumlah lebih besar,” katanya.
Dengan kiraan detik menuju edisi ke-10, CULTRA kini bersiap sedia mengalu-alukan para pelari yang mahu menempuh cabaran utama tanah tinggi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial