Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 19 Ogos (Bernama) -- Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail telah dikurniakan Pingat Jasa Gemilang Singapura atas sumbangan besar beliau terhadap keselamatan Malaysia, Singapura dan rantau ini.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) Singapura dalam kenyataan memaklumkan anugerah itu mengiktiraf peranan penting beliau dalam memperkukuh hubungan profesional dan kerjasama erat antara Cawangan Khas Malaysia (MSB) dan ISD sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Pengarah MSB.
Pingat itu telah disampaikan kepada beliau oleh Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri K. Shanmugam dalam majlis penganugerahan yang diadakan di Kementerian Ehwal Dalam Negeri Singapura pada Isnin.
“Di bawah kepimpinan beliau, MSB dan ISD mengekalkan penglibatan dua hala yang kukuh, pertukaran risikan serta kerjasama meluas dalam bidang kepentingan keselamatan bersama, khususnya dalam usaha memerangi keganasan,” menurut ISD dalam kenyataan itu.
Sementara itu, Shanmugam berkata hubungan erat dan mesra antara MSB dan ISD adalah bukti komitmen Mohd Khalid untuk bekerjasama rapat dengan Singapura dalam bidang keselamatan yang menjadi kepentingan bersama.
“Saya berterima kasih kepada Tan Sri Mohd Khalid atas kepimpinan beliau yang bijaksana. Melalui kerja keras dan usaha tanpa jemu daripada beberapa generasi pegawai MSB dan ISD, Singapura, Malaysia dan rantau ini kekal selamat,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau menambah bahawa kerjasama rapat antara kedua-dua agensi itu telah membantu menggagalkan aktiviti elemen pro-Daesh dan entiti lain yang mempunyai kaitan dengan keganasan di rantau ini.
Mohd Khalid dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas pada 10 April 2023, mengetuai MSB lebih dua tahun sebelum memegang jawatan Ketua Polis Negara pada 23 Jun 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial