DUNIA > BERITA

Mutasi Genetik Jarang Berlaku Mungkin Memberi Imuniti Virus Secara Menyeluruh - Kajian

20/08/2025 09:09 PM

ISTANBUL, 20 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Satu kajian terkini yang diterbitkan dalam jurnal Science Translational Medicine mendedahkan yang penghasilan semula mutasi genetik jarang berlaku berpotensi memberikan imuniti hampir menyeluruh terhadap virus, lapor Science Alert pada Selasa, menurut Anadolu Ajansi (AA).

Mutasi genetik jarang yang dikenali sebagai kekurangan gen (ISG15) yang menjadikan seseorang hampir kebal terhadap jangkitan virus,  berjaya dihasilkan semula dalam haiwan makmal, sekali gus membuka harapan ia dapat digunakan sebagai pendekatan terapeutik pada masa hadapan.

Individu dengan kekurangan ISG15 mengalami keradangan ringan yang berterusan, namun protein imun tubuh mereka kekal aktif sepanjang masa. Walaupun terdedah kepada jangkitan biasa seperti selesema, campak dan cacar air, mereka hanya menunjukkan simptom ringan.

“Menurut pandangan saya,  jika kita dapat menghasilkan bentuk pengaktifan imun ringan ini dalam orang lain, kita boleh melindungi mereka daripada hampir semua virus,” kata pakar imunologi dari Universiti Columbia Dusan Bogunovic, yang pertama kali menemui fenomena ini 13 tahun lalu.

Bogunovic dan pasukannya menggunakan teknologi yang serupa dengan vaksin mRNA untuk menghasilkan kekurangan ISG15 sementara dalam haiwan makmal.

Badan tikus dan hamster yang menerima rawatan itu menghasilkan 10 protein utama dengan kesan antivirus yang menghalang jangkitan pada pelbagai peringkat.

Apabila haiwan itu kemudiannya dicabar dengan virus SARS-CoV-2, protein yang dihasilkan oleh haiwan yang "divaksin" berjaya menyekat jangkitan tanpa mengganggu sistem imun lain dalam badan.

“Kami hanya menghasilkan sedikit daripada 10 protein ini, untuk tempoh yang sangat singkat, dan ini menyebabkan keradangan yang jauh lebih rendah berbanding individu dengan kekurangan ISG15,” jelas Bogunovic, sambil menegaskan bahawa tahap keradangan itu "cukup" untuk mencegah penyakit virus.

Walaupun kesan perlindungan hanya bertahan sehingga empat hari, ia berpotensi digunakan untuk perlindungan sementara bagi petugas kesihatan sebelum vaksin khusus tersedia.

Teknik ini boleh mengukuhkan tindak balas terhadap pandemik masa depan seperti COVID-19 atau Selesema Sepanyol, namun ia masih dalam peringkat awal ujian dengan cabaran besar dalam aspek penyampaian mRNA secara selamat ke dalam tubuh manusia.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan