DUNIA > BERITA

Kemboja-Thailand Adakan Perbincangan Konstruktif Redakan Ketegangan Sempadan

25/08/2025 06:19 PM

Oleh Vijian Paramasivam & Kenny Teng

PHNOM PENH, 25 Ogos (Bernama) -- Pegawai tinggi tentera Kemboja dan Thailand giat berusaha memperkukuh gencatan senjata di sempadan selepas konfrontasi bersenjata lima hari  bulan lepas.

Dalam Mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Sempadan Wilayah (RBC) yang berlangsung Isnin, kedua-dua pihak bersetuju mengekalkan komunikasi tetap antara semua wilayah tentera dan kawasan tentera darat bagi mengelak berlakunya pertembungan ketenteraan pada masa depan.

“Mesyuarat Luar Biasa RBC  ini berakhir dengan Kemboja dan Thailand menegaskan semula tekad bersama untuk bekerjasama memulihkan keadaan normal di sempadan, memperkukuh semangat kejiranan yang baik serta mempromosi keamanan, kestabilan dan kemakmuran untuk rakyat kedua-dua negara,” menurut kenyataan akhbar Tentera Darat Diraja Kemboja selepas mesyuarat itu.

Mesyuarat itu diadakan di Wilayah Pailin, Kemboja, manakala Mesyuarat RBC yang serupa telah berlangsung di Wilayah Trat, Thailand pada Jumaat lepas.

Kemboja dan Thailand kini sedang melaksanakan pelbagai rundingan bagi memulihkan keadaan di kawasan sempadan selepas pertempuran pada 24 Julai lepas.

Mesyuarat RBC hari ini melibatkan Wilayah 5 Tentera Kemboja dan Markas Pertahanan Sempadan Chanthaburi-Trat Thailand.

Delegasi Kemboja diketuai Leftenan Jeneral Ek Sam Aun, Komander Wilayah 5 Tentera  yang juga Pengerusi Bersama mesyuarat RBC luar biasa itu.

Laksamana Madya Apichat Sapprasert, Komander Markas  Pertahanan Sempadan Chanthaburi dan Trat yang juga Pengerusi Bersama mesyuarat RBC luar biasa, mengetuai delegasi Thailand.

Sementara itu, Timbalan Jurucakap Tentera Laut Diraja Thailand, Laksamana Muda Parat Rattanachaiphan berkata satu memorandum persefahaman telah ditandatangani pada mesyuarat itu sebagai langkah persediaan ke arah penubuhan Jawatankuasa Sempadan Wilayah bersama antara kedua-dua negara.

“Isu utama yang dikenal pasti untuk susulan termasuk kerjasama kemanusiaan dalam pemusnahan periuk api darat dan pembanterasan rangkaian penipuan, yang akan dibincangkan dengan lebih lanjut pada Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) akan datang.

“Ini termasuk penghapusan sepenuhnya periuk api anti-personel di bawah Konvensyen Ottawa, sebuah perjanjian antarabangsa bagi menamatkan penggunaan periuk api, serta menangani sindiket penipuan yang telah menyebabkan kerosakan besar di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman Facebook rasmi Tentera Laut Diraja Thailand pada Isnin.

Ketegangan berpanjangan antara Kemboja dan Thailand berhubung wilayah yang tidak mempunyai sempadan jelas telah mencetuskan konflik ketenteraan yang disifatkan pemerhati sebagai paling serius dalam sedekad.

Selepas usaha mengantara secara diplomatik yang tegas diketuai Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dengan sokongan Amerika Syarikat dan China, gencatan senjata dicapai di Putrajaya pada 28 Julai.

Kedua-dua pihak turut menegaskan komitmen mereka untuk melaksanakan hasil Mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) antara Kemboja dan Thailand yang diadakan di Kuala Lumpur pada 7 Ogos.

Mereka juga bersetuju untuk mengadakan mesyuarat RBC seterusnya dalam tempoh sebulan dengan Thailand sebagai tuan rumah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan