DUNIA > BERITA

Langkah Kawalan Sedang Diambil, Rakyat Malaysia Di Indonesia Diminta Berwaspada - Duta Besar

02/09/2025 03:57 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 2 Sept (Bernama) -- Rakyat Malaysia yang bermastautin atau berkunjung ke Indonesia dinasihatkan terus memantau perkembangan semasa dan mengikuti arahan pihak berkuasa tempatan susulan rusuhan di Jakarta serta beberapa bandar utama sejak 28 Ogos lalu.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin berkata setakat ini tiada rakyat Malaysia termasuk pelajar yang terjejas akibat insiden berkenaan.

Beliau menjelaskan pihak berkuasa tempatan sedang mengambil langkah sewajarnya untuk mengawal keadaan serta menjamin keselamatan orang ramai.

“Masyarakat dinasihatkan mengelak kawasan yang terlibat dengan rusuhan, sama ada di Jakarta mahupun di bandar-bandar lain di seluruh Indonesia,” katanya dalam temu bual bersama media Malaysia pada Selasa.

Bagi para pelajar Malaysia, Syed Mohamad Hasrin berkata pihak Education Malaysia di Indonesia sentiasa berhubung dengan mereka bagi memantau keadaan dan menyalurkan nasihat sewajarnya.

“Mereka juga berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Menurut beliau, rakyat Malaysia yang merancang berkunjung ke Indonesia perlu membuat persiapan rapi termasuk merancang perjalanan dengan teliti, memastikan kewangan mencukupi, mendapatkan insurans perjalanan, serta mengikuti perkembangan terkini mengenai lokasi yang ingin dikunjungi.

Syed Mohamad Hasrin turut menasihatkan rakyat Malaysia agar melaporkan keberadaan mereka kepada pihak kedutaan bagi memudahkan sebarang tindakan jika diperlukan.

“Kedutaan sentiasa bersedia menjawab panggilan telefon, pertanyaan melalui e-mel dan WhatsApp bagi memberikan panduan sewajarnya. Kita akan terus melakukan perkara itu dan sekiranya perlu, kenyataan media rasmi akan dikeluarkan,” katanya.

Pada 29 Ogos, Kedutaan Malaysia di Jakarta dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya sedang memantau rapi perkembangan terkini susulan siri demonstrasi yang bermula di kawasan Senayan, Jakarta Pusat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan