Oleh Vijian Paramasivam
BANTEAY MEANCHEY, Kemboja, 2 Sept (Bernama) -- Kemboja memanfaatkan diplomasi media untuk menarik perhatian antarabangsa terhadap kesengsaraan ribuan penduduk kampungnya yang terperangkap dalam konflik sempadan dengan Thailand.
Melalui platform media antarabangsa, Kemboja berusaha menonjolkan penderitaan masyarakat luar bandar yang sering terpinggir di kawasan terjejas konflik.
Minggu lalu, kira-kira 30 wartawan tempatan dan asing dibawa melawat ke wilayah yang terkesan konflik iaitu Preah Vihear, Oddar Meanchey dan Banteay Meanchey.
Lawatan media itu dianjurkan Kementerian Penerangan Kemboja.
Setiausaha Kedua Negara merangkap jurucakap kementerian, Tep Asnarith berkata program berkenaan bertujuan membolehkan wartawan serantau menyaksikan reality sebenar di kem pelarian, komuniti sempadan dan kawasan pasca konflik di utara Kemboja.
“Ia bertujuan memberi wartawan perspektif langsung mengenai usaha Kemboja meredakan ketegangan, menguruskan permusuhan dan menyokong komuniti terjejas,” katanya kepada Bernama.
Asnarith menegaskan bahawa konflik bukan sahaja meragut nyawa anggota tentera Kemboja, tetapi juga menjejaskan ribuan orang awam yang menanggung penderitaan tidak terperi.
Media memainkan peranan penting ketika konflik dengan menonjolkan penderitaan orang awam, membentuk pandangan awam domestik dan antarabangsa, serta menggalakkan sokongan terhadap usaha meredakan ketegangan dan bantuan kemanusiaan, kata beliau.
“Laporan media, baik tempatan mahupun antarabangsa akan membantu menceritakan kebenaran kepada dunia mengenai nasib malang Kemboja,” kata Asnarith.
Konflik sempadan pada 24 Julai lalu antara Kemboja dan Thailand menyebabkan kira-kira 300,000 orang awam dipindahkan dari kawasan sempadan.
Sekurang-kurangnya 30,000 rakyat Kemboja masih tinggal di kem pelarian kerana enggan pulang ke rumah masing-masing, bimbang pertempuran tentera berulang.
Satu gencatan senjata pantas dilaksanakan dengan sokongan masyarakat antarabangsa, sekali gus menamatkan pertempuran singkat selama lima hari.
Namun, dari Preah Vihear hingga ke Banteay Meanchey, kisah yang dipaparkan tetap sama – rumah musnah, sawah terbiar, sekolah dan klinik desa hancur, serta kem sementara yang dibasahi hujan monsun dengan ancaman demam denggi semakin meningkat.
“Penduduk dan kanak-kanak Kemboja di kawasan ini terpaksa bertahan di kem yang setiap hari dilanda hujan.
“Keutamaan kami adalah melindungi rakyat tempatan,” kata Gabenor Banteay Meanchey, Oum Reatrey kepada Bernama ketika tinjauan di Kampung Prey Chan.
Wilayah Banteay Meanchey terletak di barat laut Kemboja.
Terdapat kebimbangan bahawa isu serantau lain seperti ketidaktentuan politik di Bangkok, rusuhan awam di Jakarta dan perang saudara berterusan di Myanmar yang boleh mengalihkan perhatian media.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial