BEIJING, 9 Sept (Bernama-CMG) -- Jumlah perdagangan antara China dan ASEAN bagi tujuh bulan pertama tahun ini meningkat 8.2 peratus tahun ke tahun, mencecah US$597 bilion (RM2.5 trilion), iaitu merangkumi 16.7 peratus daripada keseluruhan perdagangan luar China dalam tempoh yang sama.
Setakat Julai lalu, jumlah kumulatif pelaburan antara kedua-dua pihak melebihi US$450 bilion (RM1.9 trilion), manakala kontraktor China menyiapkan projek pembinaan bernilai US$480 bilion (RM2.02 trilion) di negara-negara ASEAN.
Dalam sidang media pejabat penerangan Dewan Negara pada Isnin, Naib Menteri Perdagangan China, Yan Dong berkata bahawa China kekal sebagai rakan dagang terbesar ASEAN untuk 16 tahun berturut-turut, manakala ASEAN hadir sebagai rakan dagang terbesar bagi China selama lima tahun berturut-turut.
Pada 2024, jumlah perdagangan antara China dengan lima negara ASEAN iaitu Malaysia, Vietnam, Indonesia, Thailand dan Singapura masing-masing melepasi paras US$100 bilion (RM421 bilion). Daripada jumlah itu, perdagangan dengan Malaysia dan Vietnam melebihi US$200 bilion (RM842 bilion).
“Rundingan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) versi 3.0 telah dimuktamadkan, dan buat kali pertama membentuk kerangka Kerjasama sistematik yang merangkumi infrastruktur digital dan peraturan serta piawaian,” kata Yan.
Sementara itu, Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-22 akan berlangsung di Nanning, wilayah Guangxi bermula 17 hingga 21 Sept, dengan penyertaan kira-kira 3,200 syarikat pempamer dari 45 buah negara.
CAEXPO 2025 akan dilengkapi pavilion khas untuk sektor kecerdasan buatan dan kuasa produktif kualiti baharu serta zon pameran ekonomi biru dan produk premium untuk eksport, yang dijangka mencerminkan hasil terkini kerjasama antara China dengan negara-negara ASEAN.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial