DUNIA > BERITA

Kenyataan Penuh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam Di Doha

16/09/2025 12:49 AM

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Berikut teks ucapan penuh Kenyataan Negara oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha hari ini:

 

Yang Amat Mulia Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani

Emir Qatar.

 

Malaysia mengecam sekeras-kerasnya dan tanpa sebarang keraguan serangan udara Israel terhadap kota Doha ini sendiri.

Melontarkan bom bertubi-tubi ke atas ibu kota sebuah negara berdaulat adalah satu tindakan tidak berperikemanusiaan, tidak mempunyai undang-undang dan sama sekali tidak dapat dipertahankan. Ia merupakan satu pencerobohan terhadap kedaulatan Qatar, satu pelanggaran undang-undang antarabangsa, dan satu tindakan provokasi melulu yang membahayakan keselamatan rantau ini.

Keparahan tindakan biadab ini lebih dirasai kerana Qatar memainkan peranan penting sebagai perantara. Di bawah pimpinan Yang Amat Mulia Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, negara ini telah berusaha gigih dengan penuh kesabaran dan kebijaksanaan untuk memupuk dialog.

Menyerang Qatar bermakna mensabotaj secara terang-terangan segala usaha perdamaian tersebut. Serangan ini mesti dianggap sebagai serangan terhadap kita semua. Ia adalah satu serangan yang dirancang, di mana tiada negara yang terkecuali daripada menjadi mangsa dalam mengejar agenda Zionis Israel.

Sementara itu, Gaza terus dihancurkan di depan mata kita. Rakyatnya telah mengalami kemusnahan dan kehancuran yang tiada tolok bandingnya: keluarga musnah sama sekali, hospital ranap menjadi timbunan, kanak-kanak tertimbus di bawah runtuhan. Di Tebing Barat, dasar kolonial perampasan tanah berterusan tanpa henti.

Kebiadaban ini telah merebak kepada serangan dan pengeboman di Lubnan, Syria, Yemen dan Iraq, malah serangan terhadap Iran juga. Corak tindakan tanpa undang-undang ini menunjukkan penghinaan mutlak terhadap asas-asas ketamadunan dan peraturan antarabangsa.

Israel telah mengisytiharkan bahawa negara Palestin tidak akan pernah wujud. Perlu ditegaskan: ini merupakan pengisytiharan apartheid yang kekal. Ia adalah penolakan terhadap setiap resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan hak untuk menentukan nasib sendiri.

Rakyat kita telah letih dengan kata-kata semata-mata.

Mereka telah menyaksikan kita mengeluarkan kecaman demi kecaman, kenyataan demi kenyataan, sementara Israel terus bermaharajalela tanpa hukuman. Generasi akan datang akan bertanya sama ada kita menemukan keberanian untuk bertindak, sedangkan kita tidak meminta negara-negara untuk melangkaui kewajipan asas mereka.

 

Yang Amat Berbahagia sekalian,

 

Mereka dalam kalangan kita yang mempunyai hubungan istimewa dengan Amerika Syarikat memikul tanggungjawab yang khusus.

Apabila Amerika berusaha berdialog dengan Iran, Israel membalasnya dengan bom. Apabila Washington menggalakkan usaha perdamaian dengan Hamas, Israel menyerang di Doha ini. Dan hari ini, ketika kita bersidang, sebuah flotila sedang belayar menuju Gaza — bukan membawa senjata, tetapi membawa harapan dan bantuan kepada rakyat yang dikepung.

Ia adalah satu misi kemanusiaan, dan kita mesti melakukan segala yang termampu untuk memastikan ia tiba ke pantainya.

Membiarkannya dihalang dengan kekerasan adalah mengkhianati amanah yang telah diletakkan oleh nurani kita: untuk mempertahankan yang lemah, melindungi yang tertindas, memberi makan kepada yang lapar.

Kecaman tidak akan menghentikan peluru berpandu. Kenyataan tidak akan membebaskan Palestin. Tindakan hukuman yang keras mesti dilaksanakan.

Segala penglibatan diplomatik mesti dihentikan, begitu juga hubungan perdagangan.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita keberanian untuk bertindak dan ketabahan untuk menghadapinya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan