DUNIA > BERITA

Konvoi Bantuan Ke Gaza Hantar 9 Kapal Pecahkan Sekatan Israel, 6 Lagi Sedia Belayar

17/09/2025 12:50 AM

TUNIS, (Tunisia) / ISTANBUL, 16 Sept (Bernama-Anadolu) -- Satu konvoi bantuan ke Gaza pada Selasa mengumumkan pihaknya telah menghantar sembilan kapal ke wilayah yang dikepung itu dalam usaha memecahkan sekatan berbulan-bulan oleh Israel, lapor Anadolu Ajansi.

Flotila Sumud Maghreb memaklumkan ia juga sedang bersiap sedia menghantar enam lagi kapal ke enklaf Palestin berkenaan.

“Kami sudah menghantar sembilan kapal, terbaharu kapal Yaman pada Isnin malam,” kata Ahli Jawatankuasa Penganjur, Nabil Chenoufi, kepada Anadolu.

“Enam lagi - Mawal, Qaysar, Florida, Tiko, Saada dan Tamar - kini bersedia untuk belayar hari ini.” Inisiatif Afrika Utara itu merupakan sebahagian daripada flotila antarabangsa hampir 50 kapal yang membawa aktivis dari Eropah, Amerika Latin, Amerika Syarikat, Pakistan, India dan Malaysia.

Chenoufi berkata flotila berkenaan bertujuan “menghantar sebanyak mungkin kapal untuk memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza dan mewujudkan koridor selamat bagi bantuan kemanusiaan.”

Seorang lagi ahli jawatankuasa, Wael Nawar dalam mesej video dari atas kapal Der Yassin berkata: “Kami kini berada di perairan antarabangsa, menghampiri perairan Itali.

Kapal-kapal kami belayar rapat untuk bertemu dengan flotila Sepanyol dan Itali. Perjalanan ke Gaza akan mengambil masa kira-kira lapan hari.”

Menjelang Ahad malam, 16 kapal telah belayar dari pelabuhan Tunisia termasuk Gammarth, Sidi Bou Said dan Bizerte, menurut ahli jawatankuasa Khaled Boujemaa.

Kapal pertama konvoi global itu belayar dari Bizerte pada Sabtu, selepas bergerak lebih awal dari Barcelona pada akhir Ogos dan Genoa pada 1 Sept. Menjelang 7 Sept, kumpulan dari Eropah telah tiba di perairan Tunisia untuk meneruskan pelayaran ke Gaza.

Inisiatif itu mula digerakkan bulan lepas dengan pelayaran kapal dari Barcelona, Sepanyol, dan Genoa, Itali.

Penganjur menyifatkan misi ini sebagai yang belum pernah dilakukan sebelum ini, berbeza dengan cubaan terdahulu yang hanya melibatkan sebuah bot dan akhirnya dipintas Israel serta penumpangnya dihantar pulang.

Konvoi kali ini adalah yang terbesar seumpamanya dengan matlamat mencabar sekatan Israel serta menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza, yang kini berdepan kebuluran di bawah penutupan semua lintasan oleh Israel sejak berbulan-bulan lalu.

Tentera Israel telah membunuh hampir 65,000 penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, di Gaza sejak Oktober 2023. Pengeboman berterusan itu menyebabkan wilayah berkenaan tidak lagi sesuai didiami serta mencetuskan kebuluran dan penularan penyakit.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan