DUNIA > BERITA

Lawatan Menteri Luar Ke Myanmar Ditangguhkan - Wisma Putra

19/09/2025 04:27 PM

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama)  -- Kementerian Luar Malaysia mengesahkan yang lawatan yang dijadual oleh menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan, ke Myanmar yang pada asalnya pada Jumaat (19 Sept) ditangguhkan atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, kementerian yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra itu memaklumkan, maklumat lanjut mengenai penjadualan semula lawatan itu akan dikongsikan dari semasa ke semasa.

"Kami menghargai pemahaman semua pihak," menurut kenyataan itu.

Pada 8 Ogos lalu, dilaporkan yang Mohamad akan mengetuai satu pasukan rasmi ASEAN bagi menilai situasi semasa di Myanmar pada 19 Sept.

Rancangan asal menyatakan yang delegasi itu, yang turut disertai oleh rakan sejawatnya dari Thailand, Filipina dan Indonesia, akan meninjau keadaan terkini di bawah pentadbiran baharu selepas pembubaran kerajaan junta dan penamatan darurat negara.

Mohamad sebelum ini berkata Myanmar mengumumkan rancangan untuk mengadakan pilihan raya umum dan keputusan untuk membatalkan atau tidak melanjutkan darurat dibuat selaras dengan perlembagaan negara itu.

Beliau bagaimanapun mahu mendapatkan penjelasan lanjut sama ada pilihan raya itu akan dilaksanakan secara menyeluruh, memandangkan 63 bandar atau kawasan masih berada di bawah perintah darurat yang dikenakan oleh Majlis Pertahanan dan Keselamatan Negara Myanmar (NDSC).

"Negara itu telah menamatkan darurat, tetapi 63 kawasan ini masih tertakluk kepada perintah darurat. Saya mahu mendapatkan gambaran yang lebih jelas untuk dibentangkan kepada pemimpin ASEAN pada Oktober ini," katanya sebagaimana yang dilaporkan.

Pada 31 Julai, dilaporkan, junta Myanmar mengumumkan penubuhan satu badan baharu untuk menganjurkan pilihan raya umum menjelang akhir tahun ini, sekali gus secara rasmi menamatkan darurat negara yang dikuatkuasakan sejak rampasan kuasa pada 2021.

Dengan penubuhan Suruhanjaya Keselamatan dan Keamanan yang baharu, yang turut dipengerusikan oleh Min Aung Hlaing, pihak junta mengisytiharkan yang darurat ditamatkan secara rasmi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan