DUNIA > BERITA

Perpaduan Dan Budaya Terserlah Dalam Sambutan Hari Malaysia Di Finland

21/09/2025 02:51 PM

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Kedutaan Malaysia di Helsinki, Finland meraikan Hari Malaysia ke-62 dengan program kebudayaan yang meriah pada Sabtu (20 Sept), menghimpunkan rakyat Malaysia dan rakan-rakan mereka dalam suasana penuh patriotik, ukhuwah masyarakat serta keceriaan perayaan.

Kuasa Usaha sementara Kedutaan, Al-Fadil Adam dalam ucapan pembukaannya menekankan kepentingan Hari Malaysia sebagai peringatan perpaduan, kepelbagaian serta identiti nasional yang dikongsi bersama.

Beliau berkata sambutan ini juga menjadi peluang bagi rakyat Malaysia di perantauan untuk berkumpul dan merenung kembali nilai-nilai yang menyatukan mereka sebagai sebuah bangsa, di samping mempromosikan warisan budaya Malaysia yang kaya kepada masyarakat Finland yang lebih luas.

Acara yang berlangsung di Kedutaan pada Sabtu itu dihadiri 120 tetamu, dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan, Negaraku.

Pelbagai pengisian interaktif turut dianjurkan, termasuk Kuiz Hari Malaysia yang menguji pengetahuan peserta mengenai sejarah, budaya dan trivia negara, dengan hadiah disampaikan kepada tiga pemenang utama.

Pertandingan Pakaian Terbaik yang penuh warna-warni turut menyerikan suasana apabila peserta menampilkan busana tradisional dan kreatif Malaysia. 

Semua peserta menerima cenderamata, manakala lima pakaian terbaik dipilih oleh panel Kedutaan dan diberikan hadiah dalam suasana meriah.

Sambutan diakhiri dengan sesi “makan-makan” yang menyajikan pelbagai hidangan Malaysia, melambangkan budaya negara yang menghargai kebersamaan melalui makanan.

Selaras dengan usaha jangkauan berterusan Kedutaan, sambutan Hari Malaysia ini bukan sahaja mengukuhkan semangat kekitaan dalam kalangan rakyat Malaysia di Finland, malah turut memupuk kefahaman serta penghargaan budaya dalam kalangan tetamu tempatan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan