DUNIA > BERITA

Kemasukan Timor-Leste Ke Dalam ASEAN, Suara Baharu Serantau

25/09/2025 01:43 PM

Oleh Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Ketika Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir di Istana Presiden di Dili semalam (Rabu), beliau bukan sekadar ketua kerajaan Malaysia yang menyampaikan syarahan dan menerima anugerah tertinggi Timor-Leste. Beliau juga menegaskan semula masa depan serantau yang dikongsi bersama. Lawatan beliau, yang pertama oleh seorang Perdana Menteri Malaysia dalam tempoh 23 tahun, menyerlahkan bukan sahaja keunikan peristiwa itu, malah juga kepentingan detik bersejarah berkenaan.

Terdahulu pada sebelah pagi, beliau berucap di Parlimen Timor-Leste yang dianggotai 65 ahli daripada pelbagai parti politik, dengan ada diantaranya diketahui lantang mengkritik pentadbiran. Sentiasa peka dengan audiensnya, Anwar menegaskan bahawa “‘demokrasi adakalanya boleh menjadi riuh” dan itu bukan sesuatu yang buruk, tetapi apabila berlandaskan perdebatan membina “ia membawa kestabilan, keyakinan dan keadilan.” Beliau kemudiannya untuk sebahagian besar ucapannya bercakap secara spontan, tanpa retorik dan tanpa berselindung, terus daripada hati dan fikirannya. Di akhir ucapannya, Anwar menerima tepukan gemuruh bukan sahaja sebagai penghargaan terhadap kepakaran pidatonya, tetapi juga sebagai manifestasi jelas rasa hormat, kemesraan dan kasih sayang mendalam yang terus diberikan Dili terhadap Malaysia.

Hubungan Malaysia-Timor-Leste sentiasa berpaksikan solidariti dan dibentuk oleh aspirasi bersama demi keamanan dan kemakmuran. Sejak awal, Malaysia telah menghulurkan sokongan kepada Dili, bukan sahaja melalui kehadiran diplomatik, malah melalui usaha yang membantu negara itu menstabilkan keadaan dan mempersiapkan diri untuk mencapai kenegaraan penuh.

Sejak bertahun-tahun, Malaysia memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan Timor-Leste, khususnya dalam bidang pendidikan, pembangunan modal insan dan pengukuhan institusi. Ratusan pelajar serta pegawai Timor-Leste mendapat manfaat daripada peluang latihan, biasiswa dan pertukaran profesional di Malaysia. Program-program ini bertujuan memupuk keupayaan dan kepimpinan, memastikan Timor-Leste dapat mengukuhkan institusi dan tadbir urusnya sendiri. Apa yang Malaysia laksanakan ketika itu bukanlah satu tindakan amal, tetapi pelaburan jangka panjang ke arah sebuah rantau yang lebih aman, berdaya tahan dan saling terhubung, yang dibina atas kepercayaan dan saling hormat-menghormati.

Penyertaan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN merupakan peristiwa penting bagi Dili dan rantau ini. Ia membuktikan bahawa ASEAN kekal terbuka dan fleksibel, bersedia menerima anggota baharu yang berkongsi visi keamanan, kestabilan dan kerjasama. Langkah ini turut mengingatkan bahawa perpaduan dan kepaduan ASEAN dipupuk melalui dialog, ketabahan dan tanggungjawab kolektif.

Kestabilan, keyakinan dan keadilan. Nilai-nilai ini turut menjadi teras kepada pemusatan ASEAN, yang bergantung pada dialog sihat serta saling menghormati dalam kalangan anggotanya yang pelbagai. Dalam hal ini, amalan demokrasi Timor-Leste bukan sahaja kekuatan negara itu, malah aset yang akan memperkaya budaya budaya perundingan dan konsensus kolektif ASEAN.

Pengembangan keluarga serantau ASEAN berlaku pada ketika persaingan kuasa besar semakin sengit, ketika persoalan mengenai daya tahan ekonomi, keselamatan rantaian bekalan serta pertumbuhan mampan semakin mendesak dan ketika orde pelbagai hala itu sendiri berdepan tekanan. Dalam keadaan sedemikian, kemasukan Timor-Leste memberi isyarat jelas bahawa ASEAN paling kuat apabila bersatu padu dan paling lemah apabila membiarkan perpecahan melemahkan kesepaduannya.

Pada masa yang sama, Anwar mengingatkan bahawa rantau ini tidak boleh mengabaikan cabaran-cabaran getir yang dihadapinya, termasuk jenayah rentas sempadan, ketaksaksamaan ekonomi yang melebar dan amalan dwistandard dalam pelaksanaan undang-undang antarabangsa. Beliau turut menyingkap penderitaan komuniti rentan di seluruh dunia, dengan Palestin sebagai contoh paling ketara, satu cabaran yang “lebih sukar ditangani dan berbahaya.” Mengimbas kembali sejarah penindasan dan penganiayaan di Timor-Leste, beliau memuji rakyatnya kerana berjaya mengubah trauma kepada daya tahan dan keyakinan moral, sekali gus mengingatkan ASEAN bahawa keberanian menentang ketidakadilan sama penting dengan kekuatan ekonomi.

Ada yang mungkin bertanya sama ada Timor-Leste benar-benar bersedia memikul tanggungjawab sebagai anggota ASEAN. Jawapannya bukan pada senarai semak keupayaan segera, tetapi pada tekad teguh yang ditunjukkan negara itu sepanjang perjalanannya yang panjang, kerana sesungguhnya laluan ke arah kemasukannya “tidak pernah mudah”. Namun, ketabahan itu terserlah melalui ketekunan kerajaan-kerajaan yang silih berganti dalam memenuhi keperluan pelan hala tuju ASEAN, meskipun peralihan politik domestik menimbulkan halangan yang hampir mustahil diatasi.”

Ia terserlah melalui kesediaan pemimpin Timor-Leste melaburkan sumber terhad bagi menyelaraskan institusi nasional dengan piawaian serantau. Ketekunan, daya tahan dan keyakinan teguh terhadap masa depan serantau inilah yang akan membolehkan Timor-Leste berkembang dalam peranannya di ASEAN. Malah, terdapat pengajaran di sini untuk ASEAN sendiri: bahawa keterangkuman, kebertanggungjawapan dan tadbir urus yang berpandangan jauh adalah penting. Seperti yang diperhatikan Anwar, Parlimen Timor-Leste dengan satu pertiga kerusinya dikhaskan untuk wanita serta penekanan ketara pada wakil yang lebih muda, adalah antara badan perundangan paling progresif di Asia Pasifik. Ia, dalam kata-katanya, “bukti hidup terhadap komitmen rakyat kepada demokrasi dan penentuan nasib sendiri.”

Timor-Leste membawa bersamanya nilai-nilai yang akan memperkaya komuniti serantau. Sejarahnya memberikan ASEAN suara dengan kejelasan moral, berbeza dengan beberapa ekonomi lain yang lebih berkuasa namun berdepan sindrom “pengecut moral” di pentas antarabangsa. Identiti Lusophone Timor-Leste menghubungkan rantau ini dengan Selatan Global dan Pasifik, mengukuhkan jangkauan ASEAN kepada komuniti di luar lingkungan tradisionalnya. Selain itu, populasi belianya menyediakan wadah dinamisme, inovasi dan modal insan yang boleh menyuntik tenaga baharu ke masa depan kolektif ASEAN.

Bagi Malaysia, detik ini menzahirkan komitmen berterusan negara terhadap kejayaan Timor-Leste.Kami menyokong negara itu pada peringkat awal perjuangannya, memperjuangkan keahliannya dalam ASEAN dan kekal teguh memastikan Timor-Leste tidak bersendirian dalam laluan ini. Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, tanggungjawab ini membawa makna lebih bermakna. Ia bukan soal “layanan berlebihan secara geopolitik”, tetapi tentang menghulurkan bantuan serta menawarkan bimbingan dalam erti perkongsian sebenar ketika Timor-Leste mengambil langkah pertamanya sebagai anggota penuh.

Perdana Menteri Anwar yang menerima Anugerah Tertinggi 'Grand Collar of the Order of Timor-Leste' bukan sekadar penghormatan peribadi. Ia pengiktirafan terhadap persahabatan berkekalan Malaysia dengan rakyat Timor-Leste serta lambang halatuju bersama yang terbentang di hadapan. Lawatan ini, penting dari segi masa dan simbolismenya, mengingatkan bahawa masa depan Asia Tenggara paling baik digapai bersama.

Sejarah akan mengenang peristiwa ini bukan sekadar sebagai majlis, tetapi sebagai detik penentu apabila Malaysia dan Timor-Leste menegaskan semula bahawa masa depan mereka dan juga ASEAN, saling berkait. Ia menjadi peringatan bahawa ikatan antara negara tidak pernah dikekalkan hanya dengan protokol, tetapi oleh tekad bersama untuk mengharungi segala cabaran dalam membina masa depan bersama.

Bagi Timor-Leste, penyertaan dalam ASEAN adalah kemuncak kepada ketabahan selama berdekad-dekad dan permulaan lembaran baharu dalam perjalanan serantaunya. Bagi Malaysia, ia adalah penunaian janji yang telah lama dibuat untuk berdiri di sisi jiran dalam mengejar kebebasan, kestabilan dan kemakmuran. Dan bagi ASEAN, ia bukti bahawa projek serantau ini kekal bertenaga dan relevan dengan menerima mereka yang berkongsi aspirasinya. Di Dili minggu ini, mesejnya jelas: Malaysia dan Timor-Leste telah memilih untuk melangkah maju bersama, dan dengan berbuat demikian, mereka mengukuhkan lagi jalinan komuniti serantau kita.

-- BERNAMA

Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah ialah Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia. Pandangan yang dikemukakan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan